PUTRAJAYA 28 Feb.- Datuk Takiyuddin Hassan menjelaskan, beliau telah menjawab dakwaan yang mengaitkan namanya dengan isu dana RM90 juta dimasukkan ke dalam akaun pemimpin Pas kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Menurut Setiausaha Agung Pas itu, beliau berbuat demikian sewaktu dipanggil memberikan keterangan yang berlangsung hampir lima jam di Ibu pejabat SPRM di sini hari ini.
Katanya lagi, SPRM telah memanggil beliau ekoran namanya merupakan antara 10 individu disebut dalam hujah balas saman yang dikemukakan pengasas dan pengarang Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown
“Saya datang bantu siasatan SPRM berhubung dakwaan Rewcastle-Brown kononnya saya ada sebuah kereta daripada duit RM90 juta itu.
“Dalam dakwaan itu, dikatakan ada kereta dan juga motor mewah, saya sudah jelaskan semuanya kepada SPRM sebentar tadi,” katanya ketika ditemui di Ibu pejabat SPRM di sini hari ini.
Menurut Takiyuddin lagi, Pas akan bekerjasama penuh kepada SPRM bagi membantu siasatan khususnya membabitkan 10 nama disebut oleh Rewcastle-Brown itu.
“Ada nama-nama pemimpin Kelantan, Terengganu dan Perlis. Kita minta mereka untuk tampil memberi penjelasan kepada SPRM,” katanya.
Terdahulu, Takiyuddin tiba di Ibu pejabat SPRM di sini pada pukul 9.20 pagi dan dilihat keluar pada pukul 1.50 petang.
Menurut sumber, siasatan itu kini menjurus kepada individu dan bukannya parti.
SPRM sebelum ini telah memanggil beberapa individu termasuk Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Nik Abdul Nik Abdul Aziz berhubung kes wang RM90 juta yang disyaki diterima pemimpin Pas melalui 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Mohd. Shukri Abdull baru-baru ini mengesahkan tiada dana itu dimasukkan ke dalam akaun rasmi Pas. – UTUSAN ONLINE











