Saya lebih percaya arahan bertulis Pas - Asyraf Wajdi - Utusan Malaysia

Saya lebih percaya arahan bertulis Pas – Asyraf Wajdi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 16 Feb. – Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, beliau lebih percayakan surat rasmi Pas berbanding dakwaan Tun Dr. Mahathir Mohamad kononnya parti itu tidak akan menyokong Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih.

Asyraf Wajdi malah berkata, ini bukan kali pertama Perdana Menteri itu membuat dakwaan sedemikian.

“Saya lebih percaya arahan bertulis Pas kepada pendokongnya supaya membantu dan menyokong calon BN berbanding kenyataan Dr. Mahathir mendakwa kononnya Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang bertemu dengan beliau untuk menyatakan Pas tidak menyokong BN dalam PRK DUN Semenyih kali ini.

“Lagipun ini bukan kali pertama Dr. Mahathir buat dakwaan seperti ini, dahulu pun mendakwa kepimpinan UMNO bertemu beliau untuk membincangkan mengenai pembubaran UMNO,” katanya menerusi kenyataan dalam laman Facebook beliau hari ini.

Terdahulu, Dr. Mahathir yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) mendakwa Pas tidak akan menyokong UMNO dalam PRK DUN Semenyih, berdasarkan pertemuannya dengan Abdul Hadi semalam.

Kata beliau, malah terdapat pengakuan secara bertulis kononnya Pas tidak akan menyokong UMNO.

Mengulas lanjut, Asyraf Wajdi berkata, rakyat tidak selamanya boleh ditipu lagi.

“Cukup-cukuplah sandiwara manifesfo dan pelbagai penipuan pimpinan PH termasuk terbaharu pengakuan seorang demi seorang menteri, menteri besar, timbalan menteri di bawah kabinet beliau yang akhirnya mengakui tiada sijil akademik setelah didedahkan masyarakat netizen,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN