TAIPING 10 Feb. – Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu mengakui bahawa beliau bukan ‘Superman’ yang boleh memantau keseluruhan negeri ini pada suatu masa secara sekali gus, lebih-lebih lagi terdapat lebih dua juta penduduk di Perak.
Ahmad Faizal berkata, adalah amat penting untuk rakyat membuat teguran mahupun laporan secara terus kepada kerajaan negeri atau pihak berkuasa berhubung perkara seperti pembalakan haram kerana pihaknya komited untuk memelihara alam sekitar.
Namun begitu katanya, perkara tersebut tidak seharusnya terus dilaporkan kepada media kerana menyifatkan ia sebagai satu perkara yang merugikan ekoran menyukarkan pihaknya untuk menangkap suspek terlibat.
“Jadi, kalau bagi dekat saya awal-awal, bagi tahu pada polis dan Jabatan Perhutanan contohnya, dapatlah kami siasat dan tangkap orang yang buat kerja tidak senonoh.
“Kalau pergi ke akhbar, rakyat nampak macam kerajaan tidak buat kerja. Kerajaan ini jahat sangat, mencuri dan sebagainya sedangkan yang mungkin benar, satu dua orang dan kita tidak dapat hendak menangkap orang yang merompak hak dan harta rakyat ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap secara terbuka sewaktu merasmikan Program Lestari Komuniti dan Alam Sekitar anjuran Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Kampung Dew di sini hari ini.
Ucapan Ahmad Faizal itu merujuk kepada laporan khas muka depan akhbar Mingguan Malaysia hari ini berkaitan kegiatan pembalakan di Perak yang didakwa mempunyai kaitan dengan amalan pemberian habuan oleh pembalak kepada segelintir penguat kuasa.
Difahamkan, penguat kuasa yang menerima upah mencecah sehingga RM30,000 itu akan mengesyorkan laluan pengambilan balak berhampiran kawasan pokok bernilai tinggi walaupun laluan diwartakan untuk pembalakan sah adalah lebih dekat dan lurus.
Dalam pada itu, Ahmad Faizal berkata, media juga mempunyai tanggungjawab untuk menghentikan kegiatan tersebut dan bukannya seakan-akan tidak mahu bekerjasama bagi memastikan kerajaan dapat menjalankan tugas dengan baik.
“Jadi saya harap kita buat kerja ini dengan sungguh-sungguh, ikhlas demi rakyat, kerana Allah tetapi kalau kita kerja, keluarkan cerita itu dan boleh jalan cerita itu selama seminggu, saya tidak nampak keikhlasan di situ.
“Minta ampun, saya bercakap secara jujur kerana saya bukan pandai sangat berpolitik tetapi saya yakin, saya kena kerja dengan ikhlas demi rakyat kerana Allah,” katanya yang turut menegaskan sesuatu laporan itu harus berfakta. – UTUSAN ONLINE










