Sathia masih diberi kepercayaan - Utusan Malaysia

Sathia masih diberi kepercayaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PERSATUAN Bola Sepak Selangor (FAS) menolak dakwaan bahawa pihaknya bakal merehatkan ketua jurulatih, B. Sathianathan berikutan prestasi hambar Red Giants dalam saingan Liga Super musim ini.

Selangor masih gagal mencatat sebarang kemenangan pada tiga perlawanan awal selepas seri dua kali dan terbaru dimalukan pasukan ‘adik’, PKNS FC dengan keputusan 0-4 di Stadium Shah Alam Ahad lepas.

Situasi itu mula mencetuskan spekulasi bahawa ‘jodoh’ Sathianathan bersama Selangor kini ‘ibarat telur di hujung tanduk’ selepas khabar angin mengatakan FAS telah menghantar surat amaran kepadanya selain bakal merehatkan bekas jurulatih skuad kebangsaan itu.

Bagaimanapun, Setiausaha Agung FAS, Dr. Johan Kamal Hamidon (gambar kecil) menafikan sekeras-kerasnya khabar angin tersebut selain mengesahkan seluruh pihak termasuk barisan pengurusan, kejurulatihan dan pemain pasukan masih berdiri teguh di belakang Sathianathan.

“Sekarang adalah fasa sukar buat pasukan Selangor ekoran beberapa keputusan buruk yang dicatatkan sebelum ini. Namun, kami (FAS) masih boleh bertoleransi dan memberi masa kepada Sathianathan untuk membentuk pasukan yang mantap.

“Malah, Presiden FAS, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah juga memberi sokongan positif kepadanya. Justeru, dakwaan bahawa sebarang surat amaran yang diberikan oleh pihak pengurusan dan juga khabar angin akan merehatkannya adalah tidak benar sama sekali.

“Apa yang pasti, saya akui penyokong berhak untuk menyuarakan rungutan dan rasa tidak puas hati mereka, tetapi percaya­lah ia masih terlalu awal untuk melakukan apa sahaja rombakan,” kata Johan ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Sementara itu, Johan mengakui dua perlawanan Liga Super menentang Pahang dan Johor Darul Ta’zim (JDT) selepas ini bakal menjadi medan ujian sebenar buat pasukan Merah Kuning itu untuk bangkit memburu kemenangan pertama.

“Ketika beraksi menentang PKNS FC sebelum ini, kami telah beraksi dengan baik tetapi nasib tidak menyebelahi pasukan ekoran beberapa kelemahan tertentu. Cuma, kami berharap aksi bertemu Pahang dan JDT nanti akan dapat memberi nafas baharu buat pasukan kami,” kata­nya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN