Sarri belum puas hati walaupun menang - Utusan Malaysia

Sarri belum puas hati walaupun menang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MALMO – Pengurus Chelsea, Maurizio Sarri memberi amaran kepada anak-anak buahnya supaya jangan sesekali melakukan kesilapan di bahagian pertahanan meskipun The Blues berjaya mencatatkan kemenangan 2-1 ke atas Malmo bagi aksi pertama peringkat 32 pasukan terbaik Liga Europa di Stadium Swedbank awal pagi semalam.

Chelsea membawa pulang kelebihan dua gol hasil jaringan Ross Barkley dan Olivier Giroud meskipun pasukan tuan rumah memperoleh satu gol pada lewat permainan menerusi jaringan Anders Christiansen sebagai bekalan bertandang ke Stamford Bridge bagi aksi timbal balik ke-dua minggu depan.

Kelab Liga Perdana England (EPL) tersebut sebelum ini tewas empat perlawanan berturut-turut dalam semua pertandingan terma-suk dimalukan 0-6 oleh Manchester City minggu lalu.

Sekali lagi kelemahan di benteng pertahanan Chelsea jelas terserlah pada aksi semalam terutamanya hantaran lemah yang dilakukan Mateo Kovacic ke barisan pertahanan berjaya dipintas penyerang Malmo, Christiansen yang akhirnya menjaringkan gol pada penghujung perlawanan.

Bagaimanapun, Sarri tetap berpuas hati dengan respons pemainnya yang kembali bangkit selepas dimalukan City selain mengakui masih banyak perkara yang perlu diperbaiki dalam pasukannya.

“Saya sangat gembira apabila melihat pemain beraksi dengan penuh keyakinan. Bukan mudah untuk bangkit selepas dikecewakan City, namun kami tetap yakin terutama apabila mengawal bola dan menguasai permainan.

“Kami hampir dihukum dengan gerakan set-piece lawan kerana mereka mempunyai kelebihan fizikal berbanding kami. Kami sepatutnya mampu mendapatkan lebih banyak gol namun kami dibolosi dengan kesilapan sendiri.

“Pemain masih tidak terlepas melakukan kesilapan dan mungkin keputusan ini akan lebih bagus jika Kovacic tidak melakukan kesilapan.

“Kami masih perlu perbaiki permainan. Tetapi keseluruhannya saya rasa persembahan kami kali ini agak baik,” kata Sarri. – Agensi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN