Samsung lancar siri Galaxy M di India - Utusan Malaysia

Samsung lancar siri Galaxy M di India

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 6 Feb. – Samsung Electronics (Samsung) melancarkan siri Samsung Ga­laxy M iaitu M10 dan M20 di India pada harga mampu milik di bawah RM1,000.

Harga Samsung M10 di India adalah RM461 untuk 2GB RAM dengan memori 16 gigabait (GB), RM519 (3GB RAM+32GB) manakala M20 berharga RM629 (3GB RAM+32GB) dan RM745 (4GB RAM+64GB).

Selepas berminggu-minggu kebocoran maklumat dan iklan acah tersebar di internet, kehadiran peranti terbaharu itu pasti dinantikan oleh pelanggan setia Samsung untuk mendapatkan sebuah telefon pintar de­ngan pelbagai ciri menarik pada harga berpatutan.

Menurut Samsung, siri Galaxy M disasarkan untuk golongan muda dan pihaknya akan me­lancarkan beberapa lagi model pada tahun ini.

Galaxy M20 menampilkan paparan skrin sebesar 6.3 inci infiniti V dengan defi­nisi tinggi (HD) penuh. Kamera swafoto sebesar lapan me­gapiksel (MP) manakala kamera utamanya menampilkan dua lensa sebesar 13 MP dan lima MP dengan ciri sudut ultra lebar yang menyokong fokus langsung.

Peranti tersebut dioperasikan oleh pemprosesan 14nm Exynos 7904 lapan teras dan dipadankan dengan RAM sebesar tiga gigabait (GB) dan empat GB. Memori dalaman adalah 32GB serta 64GB dan pilihan simpanan kad ­mikro SD sehingga 512GB.

Paling menarik adalah peranti berkenaan mempunyai pengimbas cap jari, pengecaman wajah untuk membuka telefon, kapasiti bateri sebesar 5,000 mAh, pengecasan pantas dan menggunakan USB jenis C. M20 di­ope­rasikan oleh Android Oreo 8.1 dan Samsung Experience v9.5.

Sementara itu, M10 lebih kecil daripada pada M20 dengan paparan skrin 6.2 inci HD dengan infiniti V. Ia dioperasikan oleh pemprosesan Exynos 7870 dengan pilihan RAM dua GB untuk 16GB dan tiga GB untuk 32GB.

Kamera utama sebesar 13 MP dan lima MP sementara lima MP untuk ka­mera hadapan. Tidak seperti M20, M10 tidak mempu­nyai pengesan cap jari tetapi masih menyokong fungsi pengecaman wajah. M10 mempunyai kapasiti 3,400 mAh, Android Oreo 8.1 dan Samsung Experience v9.5.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN