Shania Zafia percaya ‘kabel’ bukan segala-galanya - Utusan Malaysia

Shania Zafia percaya ‘kabel’ bukan segala-galanya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Baru berusia 13 tahun, penyanyi baharu, Shania Zafia sudah menunjukkan pandangan yang cukup matang mengenai hala tuju kerjayanya dalam industri seni hiburan tanah air.

Bagi penyanyi lagu Cinta itu, populariti bukanlah satu-satunya ukuran kejayaan seorang penyanyi. Sebaliknya, dia mahu dikenali menerusi bakat, kualiti vokal dan identiti muzik yang dibina seiring perjalanan seninya.

Menyentuh mengenai karya terbaharunya, Cinta, Shania menyifatkan lagu berkenaan sebagai satu langkah penting dalam permulaan kariernya sebagai penyanyi.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Karya terbaru saya ialah lagu Cinta, yang baru sahaja dikeluarkan bersama muzik video daripada RUSA MUSIC. Lagu ini mempunyai sentuhan City Pop dengan vibe 70-an dan 80-an yang kebetulan trending sekarang.

“Lagu ini dicipta oleh Achoi Floor88 dan Zai Hamzah, manakala susunan muzik pula daripada Oja. Saya sangat bersyukur kerana diberi peluang untuk membawakan lagu ini. Bagi saya, Cinta adalah satu langkah penting dalam perjalanan saya sebagai penyanyi yang baru bermula,” katanya.

Menariknya, perjalanan Shania dalam bidang seni bukanlah bersandarkan latar belakang keluarga yang sememangnya berada dalam industri hiburan.

Sebaliknya, dia membina langkahnya secara perlahan-lahan menerusi pertandingan nyanyian, persembahan, lakonan iklan dan penghasilan kandungan di media sosial.

Berkongsi pandangannya mengenai keterbukaan industri muzik tempatan terhadap bakat baharu, Shania percaya ruang untuk pendatang baharu sentiasa ada, asalkan mereka sanggup berusaha dan membuktikan kemampuan.

“Ya, peluang itu memang ada. Dan saya sendiri adalah bakat baharu. Saya bukanlah datang daripada keluarga dalam industri seni di Malaysia. Saya juga bukan pempengaruh atau pencipta kandungan pada awalnya.

“Saya mencuba nasib dalam beberapa pertandingan seperti Bintang Kecil RTM dan pertandingan Big Voice RUSA MUSIC. Pada ketika itu, pengikut saya di TikTok hanya 2,000 lebih sahaja.

“Itu bukti bahawa rakyat Malaysia sangat terbuka dengan bakat-bakat baharu dan saya sangat menghargainya. Namun, saya harus berusaha dan membuktikannya untuk membalas kepercayaan mereka, khususnya peminat.

“Saya percaya peluang boleh datang, tetapi kita kena bersedia apabila peluang itu diberikan,” katanya.

Dalam pada itu, bercakap mengenai industri hiburan, Shania sedar, isu mengenai ‘kabel’ atau kenalan sering menjadi perbualan, khususnya dalam kalangan bakat baharu yang cuba membuka laluan masing-masing.

Namun bagi anak jati Negeri Sembilan ini, kenalan dalam industri boleh membantu membuka ruang, tetapi bukan segala-galanya untuk seseorang pergi lebih jauh.

“Kenalan itu datang melalui pengalaman dan masa untuk individu yang tiada kenalan dalam industri seperti saya. Semasa saya mula masuk pertandingan menyanyi dan berlakon iklan, saya berinteraksi dengan ramai orang. Dari situ saya berkenalan dan banyak bertanya.

“Saya pernah secara rambang cuba mesej atau DM artis-artis senior di Instagram dan TikTok kerana hendakkan nasihat daripada mereka, sedangkan saya tidak pernah berjumpa mereka langsung.

Ada antara mereka yang membalas dan saya akan ingat sampai bila-bila. Antaranya Edry KRU dan Khir Rahman.

“Kemudian apabila saya masuk ke Sekolah Seni Malaysia Kuala Lumpur, saya dapat pula peluang berjumpa Khir Rahman secara berdepan kerana beliau hadir untuk menonton produksi di sekolah itu.

“Bagi saya, kabel itu akan terjadi dengan sendirinya, yang penting usaha dan cara kita bawa diri.Kenalan memang boleh membantu seseorang mengenali lebih ramai orang dalam industri, tetapi bagi saya, itu bukan segala-galanya. Kita tetap kena ada usaha dan disiplin. Kalau diberi peluang, kita kena buktikan dan hargainya,” katanya.

Selain itu, Shania mengakui cabaran terbesar sebagai artis baharu adalah bagaimana mahu memperkenalkan bakat kepada masyarakat.

Katanya, bakat yang ada tidak akan membawa makna sekiranya tidak diberi ruang untuk diketengahkan dan dikenali orang ramai.

“Bagi saya, cabaran utama adalah untuk memperkenalkan bakat saya kepada masyarakat. Jika saya berbakat, tetapi tiada siapa yang tahu, bakat itu hanya terpendam pada diri saya sahaja.

“Jadi saya harus buktikan dan kenalkan diri saya kepada orang ramai melalui pertandingan, persembahan, kandungan di media sosial dan sebagainya. Saya bersyukur kerana keluarga saya dan orang sekeliling sangat membantu dalam permulaan kerjaya saya. Saya masih muda dan masih banyak perkara yang saya perlu belajar.

“Saya cuba fokus kepada perkembangan diri sendiri dan belajar daripada orang yang lebih berpengalaman,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×