SAN FRANCISCO 21 Feb. – Samsung akhirnya bakal melancarkan telefon pintar boleh lentur atau dilipat iaitu Samsung Galaxy Fold pada 26 April ini dengan harga bermula AS$1,980 (RM8,076).
Samsung yang dikatakan telah memohon reka bentuk paten bagi telefon boleh lentur sejak 2017 mempamerkan peranti baharu itu di acara Unpacked di San Francisco.
Naib Presiden Kanan Pemasaran Mudah Alih Samsung, Justin Denison berkata, Galaxy Fold didatangkan dalam empat warna iaitu Cosmos Black, Space Silver, Martian Green dan Astro Blue.
“Perincian bagi Galaxy Fold berukuran 7.3 inci dengan infinity flex display membolehkan telefon itu dilipat mengikut saiz poket anda pada ukuran 4.6 inci.
“Ia juga dilengkapi dengan kapasiti RAM sebanyak 12 gigabait (GB) dan bateri pada setiap bahagian telefon lipat,” katanya menerusi portal CNET di sini hari ini.
Galaxy Fold itu mempunyai enam kamera, tiga di belakang, satu di hadapan dan dua di dalamnya. Ia akan didatangkan dalam dua versi iaitu edisi 4G dan 5G.
Tiga kamera belakang adalah kamera sudut lebar (wide-angle) 12 megapiksel (MP), kamera telefoto 12MP dan kamera luas ultra 16MP.
Dalam pada itu, Samsung Electronics Co., Ltd menerusi Samsung Malaysia melancarkan telefon pintar premium terbaharunya, Galaxy S10, yang tersedia bagi tempahan awal menerusi laman web rasmi syarikat itu bermula 10 pagi esok sehingga 28 Februari ini.
Kesemua tiga model dalam siri Samsung Galaxy S10, iaitu S10e, S10, dan S10+ berharga antara RM2,699 dan RM4,599.
Lokasi bagi pelancaran rasmi telefon pintar Galaxy S10 adalah di Genting Highlands pada 1 Mac 2019. Pelanggan yang membuat tempahan awal akan menerima hadiah menarik seperti Galaxy Buds, perlindungan skrin dan jam Galaxy bernilai antara RM639 dan RM1,479.
HARGA:
l Samsung Galaxy Fold RM8,076
l Samsung Galaxy S10 (128GB) Galaxy S10e RM2,699
l Galaxy S10 RM3,299
l Galaxy S10+ RM3,699
l Galaxy S10+ (512GB) RM4,599











