'Sampai bila kami dipinggirkan' - Utusan Malaysia

‘Sampai bila kami dipinggirkan’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HULU LANGAT 27 Feb. – “Masa nak pilihan raya baru ramai datang menjenguk, kalau tidak siapa pun tak ambil peduli.”

Itu merupakan luahan masyarakat Orang Asli di Kampung Sungai Lalang Baru yang mengakui kecewa apabila untung nasib dan hak mereka seolah-olah tidak diendahkan. 

Apa yang lebih mendukacitakan, komuniti Orang Asli yang terletak dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih itu juga merasakan seakan-akan dipinggirkan apabila bantuan yang diharapkan tidak kunjung tiba. 

Memuatkan artikel berkaitan…

Bagi Suzy Emon, 34, masyarakat Orang Asli bukannya mengharapkan bantuan ‘setinggi gunung’ yang sukar dipenuhi, namun cukup untuk meneruskan kehidupan seharian. 

Suzy memberitahu, bantuan dengan menyediakan kemudahan seperti jalan bertar yang sempurna, lampu jalan dan rumah kediaman sudah cukup menggembirakan hati mereka. 

“Sebelum ini, saya terpaksa menunggu selama enam tahun sejak 2012 untuk memiliki rumah sendiri, itu pun atas usaha sekumpulan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pelajar universiti yang membantu membina rumah. Kalau nak harapkan pihak lain memang tiada. 

“Saya cuma mahu wakil rakyat yang dipilih dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Semenyih nanti supaya mengambil perhatian tentang masalah yang kami hadapi. Janganlah lepas tangan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini. 

PRK DUN Semenyih akan diadakan Sabtu inj selepas wakil rakyatnya, Bakhtiar Mohd. Noor, 57, me­ninggal dunia akibat serangan jantung pada 11 Januari lalu.

PRK bagi kerusi itu akan memperlihatkan pertembungan empat penjuru melibatkan Zakaria; calon Pakatan Harapan (PH), Muhammad Aiman Zainali; calon Parti Sosialis Malaysia (PSM), Nik Aziz Afiq Abdul dan calon Bebas, Kuan Chee Heng atau Uncle Kentang.

Dalam pada itu, Muhd. Idris Sili, 31, pula berharap wakil rakyat yang dipilih nanti supaya mengambil berat tentang isu pendidikan anak Orang Asli. 

Katanya, ada beberapa anak Orang Asli yang tidak bersekolah disebabkan beberapa masalah termasuk kekangan kewangan. 

“Kalau ada yang mempunyai kerja tetap seperti di kilang-kilang dapatlah menghantar anak mereka ke sekolah tetapi bagi masyarakat Orang Asli yang bekerja kampung seperti mengutip hasil hutan, mereka tidak mampu. 

“Apa yang lebih membebankan, sebelum ini disediakan perkhidmatan van secara percuma untuk menghantar anak-anak ke sekolah, namun bermula tahun ini kami terpaksa membayar sehingga RM50 seorang,” ujar beliau. 
 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN