KUALA LUMPUR 3 Feb.- Pemain import baharu Pahang dari Indonesia, Saddil Ramdani mempunyai perwatakan berbeza di luar meskipun begitu lincah di atas padang.
Pemain berusia 21 tahun itu mengakui dia merupakan seorang pemalu dan masih lagi segan dengan rakan-rakan sepasukannya dalam skuad Tok Gajah.
“Secara peribadi, saya seorang yang agak pemalu dengan rakan baharu, jadi saya ingin lebih percaya pada diri sendiri dan lebih akrab dengan keluarga Pahang.
“Saya sangat senang beraksi dengan pemain tempatan kerana mereka memiliki pengalaman dan kemahiran yang baik.
“Berdasarkan kontrak dua tahun yang ditawarkan, saya mahu membalas kepercayaan pengurusan dengan bekerja keras dan memberikan yang terbaik untuk pasukan dan penyokong,” katanya.
Pemain muda Indonesia itu memperagakan aksi cemerlang pada penampilan sulungnya apabila berjaya meledakkan satu gol sekali gus membantu Tok Gajah meraih kemenangan 3-1 ke atas Kuala Lumpur, kelmarin.
Walaupun baru pertama kali beraksi di sini, kelincahannya seakan dia sudah lama beraksi bersama pasukan apabila berjaya mencipta keserasian bersama rakan sepasukan.
Dalam pada itu, jurulatih Pahang, Dollah Salleh mengakui pemain tersebut akan menjadi aset penting buat pasukan dan potensinya akan terus berkembang.
“Saddil adalah ‘Speedy Gonzales’ kita. Walaupun masih muda, dia nampak matang dan berkeyakinan tinggi serta rajin. Saya yakin dia mampu pergi lebih jauh,” ujar Dollah.
Speedy Gonzales adalah kartun animasi Looney Tunes iaitu seekor tikus kecil yang mampu berlari dengan pantas. – UTUSAN ONLINE










