KUALA SELANGOR – Sebanyak 1 tan sampah dibersihkan daripada sebuah rumah wanita warga emas di Kampung Bagan Pasir Penambang, di sini baru-baru ini yang menjadi sarang tempat pembiakan nyamuk aedes.
Antara sampah yang dibersihkan termasuk kotak polisterin, periuk, bekas botol plastik, kotak dan baldi.
Yang Dipertua Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) Rahilah Rahmat, berkata, Operasi Bersepadu Kawasan Hotspot Denggi yang dijalankan pada 14 Februari lalu mendapati rumah itu didiami wanita warga emas berusia 81 tahun secara bersendirian dalam keadaan tidak terurus.
Katanya, wanita berkenaan menyara hidup dengan hasil jualan kutipan sampah kitar semula di sekitar Pasir Penambang dan Pekan Lama Kuala Selangor.
“Bagaimanapun, kebanyakan sampah kitar semula disimpan di sekitar kawasan rumah tanpa dijual semula.
“Keadaan itu menyebabkan berlakunya takungan air yang boleh mengundang nyamuk untuk membiak” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurut Rahilah, ini merupakan kali kedua operasi dijalankan di rumah itu dan dan tindakan sitaan serta-merta dikenakan kepada pemilik rumah setelah notis amaran yang dikeluarkan pada 13 Januari lalu tidak diendahkan.
Ujarnya, wanita itu dikenakan Notis Seksyen 82, Kacau Ganggu Mengakibatkan Nyamuk Aedes.
“MDKS kemudiannya mengambil inisiatif melakukan pengasingan sampah yang boleh dikitar semula iaitu seberat 100 kilogram sebelum membelinya mengikut harga pasaran.
“Wanita itu juga dirujuk kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat Daerah Kuala Selangor untuk proses kaunseling dan bantuan daripada segi kebajikan,” jelasnya. – K! ONLINE












