Ruang pejabat TRX 
ambil masa untuk penuh - Utusan Malaysia

Ruang pejabat TRX 
ambil masa untuk penuh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 21 Feb. – Projek Tun Razak Exchange (TRX) akan mengambil masa yang lama untuk mencapai kadar penyewaan penuh bagi ruang pejabat seluas 2.65 juta kaki persegi, menurut laporan The Edge Market yang memetik firma perundingan hartanah, Jones Lang Wootton.

Pengarah Eksekutif Jones Lang Wootton, T. Malathi berkata, mengambil contoh menara kedua (Menara Berkembar Petronas) telah mengambil masa kira-kira 10 tahun untuk mencapai kadar penyewaan penuh.

“Menara kedua yang mempu­nyai keluasan 1.25 juta kaki persegi mencapai penyewaan penuh selepas 10 tahun. Petronas telah memberi prakomitmen untuk menara satu tetapi baki selebih­nya mengambil tempoh sedekad untuk mencapai 90 peratus pada 2007 dan 2008,” katanya ketika menjawab soalan berkaitan TRX pada Persidangan Hartanah Malaysia ke-12 di sini hari ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

Tambah laporan itu, Malathi mempersoalkan sama ada wujud keperluan atau tidak untuk pembinaan komersial besar-besaran memandangkan terdapat ruang komersial yang mencukupi di Kuala Lumpur apabila peranca­ngan TRX dibuat beberapa tahun lalu.

Tambah Malathi, prakomitmen yang ditunjukkan oleh HSBC, Prudential dan Affin Bank untuk menjadikan TRX sebagai ibu pejabat adalah baik, namun jumlah itu hanya merangkumi 15 pe­ratus daripada ruang pejabat yang dimiliki TRX.

“Terdapat ruang seluas 2.65 juta kaki persegi dan mereka me­ngatakan jumlah komitmen ha­nya 15 peratus sahaja. Mereka telah melakukan kerja pemasaran untuk tempoh dua atau tiga tahun, jadi apakah peluangnya (penyewaan) akan meningkat? Pada hemat saya ia akan mengambil masa yang lama.

“Persoalannya adalah sya­rikat mana yang mereka akan bawa masuk? Prakomitmen merupakan perkara yang harus diberi perhatian. Jika ruang berkenaan dibuka untuk pasaran terbuka, saya tidak fikir orang ramai akan berebut untuk menyewanya,” jelasnya.

Sementara itu, dalam majlis berasingan, Ketua Pegawai Eksekutif TRX City Sdn. Bhd. (TRXC), Datuk Azmar Talib berkata, pihaknya kini sedang mencari pelabur yang dapat menyokong visi dalam menjadikan TRX sebagai pusat kewangan.

“Kami menerima banyak permintaan daripada pelbagai pihak tapi kami tidak boleh melayan semua sekali. Perkara ini perlu melalui proses tender,” katanya.

Tambah Azmar, pihaknya tidak terburu-buru untuk menyiap­kan baki 30 peratus daripada 28.33 hektar keluasan TRX.

Katanya, TRXC memberi tumpuan kepada penyiapan fasa pertama pembangunan infrastruktur menjelang suku ketiga tahun ini.

“Keadaan pasaran hartanah semasa turut memainkan peranan penting pada masa depan. Jika pasaran tidak berapa baik mengapa kami mesti menjual sekarang.

“Sebagai pemaju yang bertanggungjawab, kami tidak mahu bergelut dengan pasaran, tambahan pula, ruang yang ada sangat padat dan kami perlu memberi ruang kepada pembinaan dan logistik,” ujarnya.

TRXC menerima kira-kira 10 peratus daripada pembiayaan kerajaan sebanyak RM2.8 bilion.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×