KUALA LUMPUR 14 Feb. – Mahkamah Tinggi di sini hari ini memberi tempoh tujuh hari kepada Datin Seri Rosmah Mansor untuk memeriksa dan mengesahkan kewujudan 44 barang kemas yang bernilai US$14.79 juta atau hampir RM60 juta milikannya yang didakwa dirampas polis.
Perintah itu dikeluarkan oleh Pesuruhjaya Kehakiman Wong Chee Lin ketika pengurusan kes di dalam kamar hakim di sini dengan dihadiri peguam David Gurupatham mewakili syarikat pemborong barangan kemas berpangkalam di Lubnan, Global Royalty Trading SAL.
Gurupatham ketika ditemui pemberita berkata, pada peringkat ini, isteri bekas Perdana Menteri itu perlu memeriksa keberadaan barangan kemas yang dirampas dalam serbuan oleh pihak polis pada Mei tahun lalu.
Peguam itu berkata, mahkamah berpendapat dan bersetuju dengan hujahan pihaknya bahawa perbicaraan tetap diteruskan walaupun barangan kemas itu ada atau tidak.
“Ini kerana Rosmah telah menerima dan mengesahkan penerimaan barangan kemas itu serta telah menandatangani surat konsainan.
“Oleh itu, arahan mahkamah hari ini adalah Rosmah diberi tempoh tujuh hari untuk memeriksa keberadaan dan kewujudan barangan kemas itu,” katanya.
Global Royalty dalam saman yang difailkan pada 26 Jun tahun lalu mendakwa, kebiasaannya pihaknya akan menyerahkan barang kemas kepada pelanggan tetapnya itu untuk dinilai dan akan membeli barangan yang dipilih olehnya.
Pembayaran sama ada dibuat sendiri atau melalui pihak ketiga dan memulangkan baki barang kemas yang tidak dipilih kepada pihak plaintif.
Pihak plaintif mendakwa, Rosmah dalam surat bertarikh 22 Mei tahun lalu mengesahkan, menerima 44 barang kemas itu namun kini tidak lagi berada dalam miliknya kerana telah disita oleh polis.
Pihak plaintif menuntut enam perintah perisytiharan antaranya, sebagai pemilik sah ke atas barang kemas itu dan harta tersebut tidak berpindah kepada defendan dan perintah mandatori supaya barang kemas dipulangkan kepada pihak plaintif. – UTUSAN ONLINE.










