Roma patut menang - Gattuso - Utusan Malaysia

Roma patut menang – Gattuso

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MILAN 4 Feb.- Pengurus AC Milan, Gennaro Gattuso, berpendapat AS Roma wajar meraih lebih daripada keputusan seri ketika bertemu pasukan bimbingannya tetapi memuji persembahan pemainnya dalam babak kedua.

Milan mengekalkan kelebihan satu mata di atas Roma dalam kedudukan Serie A selepas melakar keputusan 1-1 dalam pertemuan kedua-dua pasukan di Stadium Olimpico, awal pagi tadi.

Penjaga gol, Gianluigi Donnarumma mempamerkan persembahan memukau terutama dalam separuh masa pertama untuk memastikan Milan meninggalkan ibu kota Itali itu tanpa kekalahan.

Penyerang Milan, Krzysztof Piatek terlebih dahulu membuka tirai jaringan sekali gus meraih gol ketiga dalam dua penampilan bersama Rossoneri, namun Nicolo Zaniolo menyamakan kedudukan buat Roma 22 saat selepas rehat.

Gattuso berpendapat Roma merupakan pasukan yang lebih baik dalam perlawanan tersebut namun tetap gembira melihat peningkatan anak buahnya dalam babak kedua.

“Roma wajar meraih sesuatu yang lebih baik sebelum rehat tetapi saya rasa kami bangkit dalam babak kedua. Mereka layak mencatat lebih daripada keputusan seri.

“Roma merupakan pasukan yang bagus dengan limpahan bakat dan saya sedar ia bakal menjadi cabaran sukar. Mereka memiliki kelebihan kualiti dan fizikal, membuatkan kami bergelut tetapi saya tetap gembira dengan persembahan pasukan.

“Seperti saya katakan, Roma mungkin layak meraih lebih daripada seri kerana kami bermain buruk pada babak pertama tetapi saya benar-benar gembira dengan persembahan pemain dalam separuh masa kedua yang beraksi dengan baik,” kata Gattuso.

Keputusan itu, meletakkan AC Milan kekal di kedudukan keempat Serie A dengan mengumpul 36 mata manakala Juventus terus selesa menerajui takhta liga selepas mengharungi 22 perlawanan dengan 60 mata. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN