NEW YORK 28 Feb. – Terdapat bukti kukuh mengaitkan rejim Zionis melakukan ‘jenayah kemanusiaan’ ketika berdepan protes di Gaza tahun lalu, dengan penembak tepat secara jelas menyasarkan kanak-kanak, petugas kesihatan dan wartawan.
Perkara itu didedahkan melalui laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) seperti dilaporkan al-Jazeera.
“Tentera rejim melakukan pencabulan terhadap hak-hak dan undang-undang kemanusiaan antarabangsa.
“Tindakan itu berupa jenayah perang atau jenayah kemanusiaan,” jelas Pesuruhjaya Siasatan Bebas PBB mengenai Protes di Wilayah Palestin yang Dijajah, Santiago Canton dalam satu kenyataan di sini.
Memberi maklum balas terhadap laporan itu, seperti biasa Menteri Luar Israel, Israel Katz menyifatkannya sebagai ‘tidak benar dan berat sebelah’.
Siasatan bebas itu ditubuhkan oleh Majlis Hak Asasi Manusia PBB (UNHRC) bagi menyiasat pencabulan terhadap protes yang diadaka sejak 30 Mac hingga 31 Disember lalu.
“Lebih 6,000 penunjuk perasaan yang tidak bersenjata telah ditembak oleh penembak tepat rejim Zionis, minggu demi minggu di lokasi protes dijalankan.
“Suruhanjaya siasatan mendapati penembak tepat rejim Zionis menembak wartawan, petugas kesihatan, kanak-kanak dan orang kurang upaya (OKU),” jelas laporan itu.










