Red Bull Tech 3 ikut model Toro Rosso - Utusan Malaysia

Red Bull Tech 3 ikut model Toro Rosso

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

AUSTRIA – Pasukan Red Bull Tech 3 KTM membawa semangat baharu menjelang Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) 2019 apabila memperkenalkan jentera KTM RC16 dengan berkonsepkan pasukan Formula Satu (F1) Toro Rosso.

Pasukan satelit Tech 3 tersebut yang menamatkan kerjasama dengan Yamaha telah membawa masuk Red Bull selaku penaja utama pada dua jentera mereka menjelang perlumbaan MotoGP yang akan membuka tirai pada Mac depan di Qatar.

Pada musim ini, Tech 3 juga membuat keputusan membawa masuk pelumba terbaik Moto2, Miguel Olivera untuk menjadi rakan sepasukan Hafizh Syahrin selepas Johann Zarco dan Pol Espargaro menyertai pasukan Red Bull KTM ­Fa­ctory ­Racing.

Pengurus Permotoran Red Bull, Tho­mas Uberall berkata, pasukan Tech 3 dibentuk sebagai jambatan terbaik kepada pelumba muda mempamerkan bakat terpendam, sekali gus berpotensi diangkat sebagai pelumba utama KTM pada masa depan.

“Sistem yang kami gunakan ini sudah di­terapkan dalam perlumbaan F1 bersama Toro Rosso yang menjadi pasukan satelit Red Bull Racing. Antara pelumba yang pernah melonjak menjadi pelumba utama mereka adalah seperti Sebastian Vettel, Daniel Ricciardo dan Max Verstappen.

“Saya gembira kerana kami ada dua pasukan dalam MotoGP dan saya boleh katakan kami mempu­nyai pelumba yang boleh menaiki podium kerana tahun lalu kami telah melakukannya di Valencia.

“Kami juga mempunyai pasukan satelit yang boleh meletakkan pelumba muda ke dalam pasukan ini seperti pelumba dari Red Bull Rookies Cup, Moto3 dan Moto2. Mereka boleh berada dalam pasukan ini untuk mengembangkan bakat mereka pada tahap tertinggi.

“Kami telah buktikan kejayaan model ini dalam F1 dan kami akan menggunakan konsep yang sama dalam MotoGP,” kata Uberall. – Agensi

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×