Ratusan ribu sambut Qatar juara Asia - Utusan Malaysia

Ratusan ribu sambut Qatar juara Asia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DOHA 2 Feb. -Juara Piala Asia, Qatar diberi sambutan gilang-gemilang oleh pemerintah negara itu dan ratusan ribu peminat sebaik skuad bimbingan Felix Sanchez itu selamat tiba di tanah air mereka, hari ini.

Emir Qatar, Sheikh Tamim bin Hamad Al Thani, yang sempat melayan sekumpulan kanak-kanak yang turut menanti ketibaan skuad kebangsaan Qatar, bertemu dengan para pemain sebaik sahaja mereka tiba di Doha bagi meraikan kejayaan merangkul Piala Asia.

“Saya sangat gembira melihat ramai penyokong yang hadir untuk meraikan bersama kami. Kami sedar betapa besar kejayaan yang telah kami catat. Apabila anda memenangi trofi seperti ini, anda akan berasa sangat bangga, apabila melihat hasil kerja keras selama ini akhirnya membuahkan hasil,” kata jurulatih, Sanchez.

Para pemain turut diraikan oleh ahli keluarga diraja yang lain dan juga ketua Qatar Airways, Akbar al-Baker, yang menyediakan pesawat untuk pasukan terbang pulang dari Oman.

Kapal terbang yang membawa skuad Qatar telah diberikan lintas hormat oleh pesawat juang Mirage, selain pasukan pancaragam tentera dan para pemain dika­lungkan bunga sebaik mereka mendarat tiba.

Para pemain dan juga staf skuad Qatar kemu­diannya dikerumuni peminat, sahabat-handai dan ahli keluarga sebelum menaiki bas berbumbung terbuka bagi memulakan perjalanan mengelilingi bandar Doha untuk bertemu dengan orang ramai yang menanti dengan sabar ketibaan mereka.

“Saya bangga kerana berjaya membuat mereka gembira. Selama 40 tahun, rakyat Qatar tidak meraikan kejayaan seumpama ini, sekarang kami akan terus meraikan untuk empat tahun akan datang dan tidak akan berhenti,” kata penjaring terbanyak Piala Asia, Ali Almoez.

Dalam perlawanan akhir itu, Qatar berjaya membenam Jepun 3-1 dan menjuarai Piala Asia buat kali pertama dalam sejarah bola sepak negara itu. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN