JAKARTA – Beratus-ratus pelajar melarikan diri daripada pertempuran di wilayah bergolak Papua di Indonesia, kata seorang aktivis badan bukan kerajaan (NGO) ketika terdapat laporan tentera bertindak ganas susulan pembunuhan pekerja awam oleh kumpulan pemisah.
Kematian 16 pekerja awam di sebuah kem jauh di dalam hutan pada awal Disember 2018 menjadi petanda peningkatan dalam pertempuran antara tentera Indonesia dan gerila pemisah berbanding pertempuran kecil kedua-dua pihak sejak beberapa dekad lalu.
Siri pertempuran baharu itu mendorong pentadbiran daerah Nduga memindahkan lebih 400 pelajar ke bandar utama di daerah Jayawijaya, Wamena, demikian menurut NGO tempatan, Sukarelawan Kemanusiaan Nduga dan seorang pegawai pendidikan. Kedua-dua daerah itu adalah berjiran.
“Sesetengah pelajar itu mengalami trauma,” kata penyelaras NGO berkenaan, Ence Geong kepada agensi berita AFP.
Beratus-ratus orang dipercayai melarikan diri ke daerah-daerah jiran atau memasuki hutan ketika askar-askar didakwa bertindak ganas dengan melakukan kebakaran, mengganggu penduduk dan membunuh haiwan ternakan serta orang awam, kata beberapa aktivis dan penduduk setempat.
Penduduk tempatan, Sripona Nirigi memberitahu AFP bahawa bapanya yang merupakan seorang paderi ditembak mati semasa operasi tentera di kawasan itu pada Disember tahun lalu.
Mayat mangsa yang rentung ditemui oleh seorang adik-beradiknya kira-kira dua minggu kemudian, kata Sripona.
Keterangan wanita itu belum dapat disahkan.
Bagaimanapun, jurucakap tentera Papua, Kolonel Muhammad Aidi menolak dakwaan pihak tentera melepaskan tembakan ke arah orang awam, malah menyifatkan ia tuduhan palsu.
“Jika terdapat dakwaan mangsa adalah orang awam, mereka sebenarnya bukan orang awam biasa.
“Mereka merupakan sebahagian daripada (gerila pemisah) yang menyerang pihak tentera,” kata Muhammad Aidi.
Dalam perkembangan berkaitan, peguam dan aktivis tempatan, Veronica Koman berkata, operasi tentera di Nduga memaksa sekurang-kurangnya seribu orang menjadi pelarian.
“Jakarta mengarahkan operasi tentera tetapi tidak melakukan apa-apa untuk membantu orang awam yang menjadi pelarian di tempat sendiri,” katanya. – AFP










