MELAKA 19 Feb. – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini menahan reman tiga individu termasuk bekas Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM) serta bekas timbalannya selama lima hari bagi membantu siasatan kes menerima wang suapan membabitkan projek bernilai hampir RM3 juta.
Kedua-dua bekas pegawai di agensi milik kerajaan negeri Melaka itu masing-masing berusia 56 dan 37 tahun dan turut direman ialah Ketua Pegawai Eksekutif sebuah syarikat pembuatan kapal di sini yang berusia 50 tahun.
Perintah reman sehingga 23 Februari itu dikeluarkan oleh Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Melaka, Teoh Shu Yee terhadap kesemua suspek.
Ketiga-tiga mereka direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 17(A) Akta SPRM 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun penjara dan denda lima kali ganda dari nilai suapan atau RM10,000, mana-mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Sebelum itu, kesemua suspek tiba di pekarangan Kompleks Mahkamah Melaka di Ayer Keroh di sini kira-kira pukul 10 pagi dengan memakai baju lokap SPRM berwarna jingga diiringi pegawai SPRM negeri.
Menurut sumber, SPRM menahan empat individu di sekitar Melaka Tengah semalam termasuk isteri kepada Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif PPSPM berkenaan, namun permohonan reman terhadap wanita berusia 31 tahun itu ditolak mahkamah.
Suspek yang berkhidmat di PPSPM disyaki telah meminta dan menerima rasuah daripada sebuah syarikat swasta sebanyak RM160,000 sebagai balasan memberikan pembekalan dan baik pulih bot oleh perbadanan berkenaan.
Difahamkan, SPRM turut menyita sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Range Rover dan pelbagai jam tangan mewah. – UTUSAN ONLINE










