KLANG – Tindakan sekumpulan lelaki warga China mencuri pasir secara haram di negara ini gagal selepas diberkas dalam Ops Gelora di Perairan Tanjung Rhu, Telok Panglima Garang di sini, Sabtu lalu.
Dalam kejadian pukul 1.50 petang itu menahan enam suspek berusia 25 hingga 54 tahun.
Turut ditahan adalah seorang warga Myanmar berusia 24 tahun yang diupah oleh kapten kapal untuk kerja penyelenggaraan.
Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, ketika ditahan kapal tersebut sedang melakukan kegiatan mengorek pasir di dasar laut perairan itu.
“Pemeriksaan di atas dek kapal itu menemui sejumlah 1,500 tan pasir yang telah dicuri hasil kegiatan tersebut.
“Hasil pemeriksaan juga mendapati kapten kapal tersebut gagal mengemukakan dokumen atau permit dari Pengarah Tanah dan Galian Negeri Selangor untuk mengambil pasir sebaliknya memberikan alasan dokumen itu disimpan di pejabat syarikat kapal itu,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Nilai rampasan pasir dan kapal itu dianggarkan RM1.02 juta.
Beliau berkata, pihaknya difahamkan kesemua pasir yang dicuri itu akan dibawa ke sebuah tempat di Sungai Langat di Banting, Kuala Langat sebelum dijual di pasaran tempatan.
Acryl Sani menambah, semakan terhadap kapal itu mendapati didaftarkan di Lome, Republik Togo, Afrika Barat namun disewa oleh sebuah syarikat tempatan di Taman Prima Puchong, di sini.
“Kesemua suspek warga asing itu juga didapati tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.
“Kes kini disiasat mengikut Seksyen 426 Kanun Tanah Negara 1965, Seksyen 379 Kanun Keseksaan serta Seksyen 6(1) dan Seksyen 6(3) Akta Imigresen 1959/63,” katanya. – K! ONLINE










