PADANG BESAR 14 Feb. -Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menitahkan harapan agar para pelajar di negeri ini akan lebih bermotivasi, berusaha gigih, bersikap proaktif dalam pembelajaran, berdisiplin, mentaati ibu bapa dan guru, bijak memilih rakan serta kaya moraliti.
Titah baginda, pelajar perlu bina semangat muhibah serta kekalkanlah kedaulatan, keamanan dan kesejahteraan di bumi bertuah ini.
Bagi melahirkan lebih ramai cendekiawan, tokoh-tokoh akademik, ahli-ahli korporat, dan ilmuan Islam di negeri ini di masa hadapan pula, komitmen paling tinggi daripada pelbagai pihak seperti Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), sekolah-sekolah serta para pelajar dan ibu bapa adalah amat diperlukan, titah baginda.
Demikian titah baginda ketika berkenan berangkat melancarkan kempen ‘Op Sifar Cicir Sekolah’ anjuran Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perlis dengan jerjasama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) peringkat SK Felda Mata Ayer, SK Titi Tinggi, Sek Ren Islam 2 dan SJKC Padang Besar (U) yang diadakan di Masjid Al Azim, Titi Tinggi, Padang Besar.
Keberangkatan tiba baginda disambut oleh Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs Mohd Nazim Mohd Noor.
Turut hadir ialah Pegawai Kewangan Negeri yang kini sedang menjalankan tugas-tugas Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis, Nasaruddin Abdul Muttalib dan Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin.
Majlis tersebut disekalikan dengan program kayuhan ‘MAIPs Peduli Menjejaki dan Menyantuni Asnaf’ Bilangan ke -11 bagi tahun 2019 yang melibatkan kehadiran 250 asnaf terpilih menerima sumbangan agihan zakat MAIPs sebanyak RM600 setiap seorang.
Pada masa yang sama, Tuanku Syed Faizuddin Putra yang juga merangkap Yang Dipertua MAIPs mahu kes keciciran sekolah ditangani secara habis-habisan di negeri ini.
Baginda turut mengingatkan kepada semua para ibubapa dan penjaga bahawa setiap anak mesti mendapat pendidikan wajib seawal usia tujuh tahun, sepertimana termaktub dalam Akta Pendidikan 550 yang ada menyatakan, adalah menjadi satu kesalahan, sekiranya ibu bapa tidak menghantar anak-anak ke sekolah, boleh dikenakan denda sebanyak RM5,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya.
Di akhir program Tuanku Raja Muda turut berkenan singgah merasmikan Projek Peningkatan Sosio Ekonomi Asnaf MAIPs berupa perniagaan bengkel membaiki kenderaan dan jentera yang diusahakan oleh Abdul Razak Khamis yang beroperasi sejak tahun 2014 di Kampung Seri Titi Tinggi, Seri Sepakat, Jalan Padang Besar Utara, Padang Besar dan pernah mendapat bantuan daripada MAIPs berupa sebuah mesin bernilai RM3,050. – UTUSAN ONLINE










