BANGKOK 7 Feb. – Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menitahkan harapan untuk melihat sepanjang tahun 2019 ini Ahli-ahli Majlis serta semua peringkat warga Pekhidmat Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) akan berusaha sedaya upaya agar organisasi tersebut menjadi agensi agama terbaik.
Baginda juga mahu MAIPs disegani serta sentiasa memiliki ciri-ciri cemerlang seperti cekap, progresif, responsif dan memenuhi kehendak pemegang amanah.
Demikian titah baginda selepas berkenan berangkat menyerahkan sumbangan agihan zakat MAIPs kepada pusat pendidikan ‘The Center For Islamic Study and Morale Enhancement – Bankrua Wittaya School’ yang terletak di 493 Bantudtona Ratchatevi District, Bangkok, Thailand yang diterima oleh Guru Kanan sekokah berkenaan, Leesak Ekachon petang semalam.
Berangkat sama, Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Turut serta mengiringi baginda berdua ialah anakanda-anakanda, Puteri Sharifah Khatreena Nuraniah, Puteri Sharifah Farah Adriana dan Syed Sirajuddin Areeb Putra Jamalullail.
Tambah baginda lagi, “Jadikanlah tahun 2018 yang lalu sebagai cerminan terhadap usaha dan pencapaian MAIPs dan pada masa yang sama memperbaiki segala kekurangan yang ada.
“Saya percaya melalui gandingan usaha, kerjasama, kesepakatan serta penghayatan terhadap matlamat utama untuk memberikan yang terbaik terhadap bangsa dan agama, InsyaAllah segala perancangan MAIPs akan dipermudahkan oleh Allah,” titah baginda.
Sempena kunjungan tersebut, Tuanku Syed Faizuddin Putra turut berkenan menyerahkan sumbangan zakat MAIPs kepada Masjid Jami-Ul-Hoy-Riyah yang terletak di dalam kawasan yang sama dan diterima oleh Puan Wantanee Wanlitas. – UTUSAN ONLINE









