IPOH 21 Feb. – Siasatan kebakaran pusat hiburan di Jalan Sultan Dr. Nazrin Shah di sini semalam yang mengorbankan enam individu kini diambil alih oleh Bahagian Penyiasatan Kebakaran, Ibu Pejabat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Putrajaya.

Pemangku Pengarah JBPM negeri, Sayani Saidon berkata, siasatan bagi mengenal pasti punca kejadian itu termasuk jumlah kerosakan dan kerugian premis berkenaan sedang dilakukan oleh pasukan penyiasatan.
Katanya, setakat ini kesemua mangsa yang terlibat dalam kejadian itu dikenal pasti sebagai pekerja dan pelanggan premis berkenaan namun perinciannya belum dapat didedahkan.
“Punca kejadian masih dalam siasatan dan anggaran kerugian juga sedang dikenal pasti. Siasatan kes ini sedang berjalan dan telah diambil alih oleh Bahagian Penyiasatan Kebakaran di Putrajaya,” katanya ringkas ketika dihubungi di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 5.30 pagi itu, enam individu termasuk dua wanita dipercayai gadis pelayan pelanggan (GRO) warga Vietnam terbunuh setelah terperangkap dalam kebakaran di pusat hiburan yang disyaki beroperasi lebih masa itu.
Turut maut dalam kejadian itu ialah seorang lelaki warga Bangladesh dan kesemua mereka dipercayai maut akibat sesak nafas setelah terhidu asap tebal. – UTUSAN ONLINE










