RABAT, Maghribi – Putera Harry dan isterinya, Meghan tiba di Maghribi untuk lawatan rasmi terakhir mereka ke luar negara sebelum menimang cahaya mata pertama yang dijadualkan pada musim bunga tahun ini atau bulan depan.
Pasangan diraja Britain itu disambut dengan sedulang buah tamar bersempena tradisi masyarakat Maghribi selepas mereka mendarat di kota Casablanca kelmarin.
“Kemudahan perubatan disediakan untuk Meghan yang memakai gelaran Duchess of Sussex. Beliau melawat sebuah kampung di Pergunungan Atlas dan ibu kota Maghribi, Rabat pagi semalam (kelmarin),” demikian menurut sumber rasmi.
Lawatan pasangan diraja Britain ke negara Afrika Utara itu bertujuan untuk mempromosikan pendidikan wanita dan memperkasakan golongan tersebut termasuk orang kurang upaya.
“Duke of Sussex (Harry) dan isteri benar-benar suka bergaul dengan orang ramai,” kata Duta Britain, Thomas Reilly dalam satu wawancara bersama saluran televisyen 2M.
Kunjungan mereka yang dilakukan bagi memenuhi permintaan Ratu Elizabeth II itu mencetuskan kebimbangan sesetengah media Britain dengan tabloid, Daily Mirror menyifatkan Maghribi ‘zon bahaya’ dan Rabat sebagai ‘bandar rusuhan’.
Bagaimanapun, menjelang ketibaan pasangan diraja tersebut, sumber diplomatik Maghribi menegaskan bahawa negaranya merupakan ‘tiang kestabilan di Afrika Utara.’
Sepanjang kunjungan mereka, Harry dan isterinya tinggal di kediaman diraja Maghribi di Rabat. Pasangan itu akan mengadakan pertemuan dengan keluarga diraja Maghribi tengah hari ini sebelum berlepas pulang pada keesokan harinya. – AFP











