BAMAKO 10 Feb.- Puluhan ribu penduduk menyertai perhimpunan yang dianjurkan ketua-ketua agama Islam di Mali untuk menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap kerajaan yang dilihat gagal membawa kestabilan setelah negara itu berdepan kucar kacir akibat ancaman pelampau agama.
Peserta perhimpunan lelaki berkumpul secara terpisah dengan wanita di dalam stadium yang menempatkan 60,000 tempat duduk itu.
Seorang imam berpengaruh, Mahmoud Dicko menyifatkan perhimpunan itu sebagai satu tindakan mencabar kerajaan.
“Perhimpunan ini dilakukan untuk mencabar kerajaan, disamping menjadi platform berdoa secara beramai-ramai untuk kesejahteraan negara ini.
“Negara kami berdepan masalah pentadbiran. Perhimpunan ini berperanan untuk menarik perhatian pihak berkuasa terhadap masalah itu,” tegasnya.-AFP









