PLAYER UNKNOWN BATTLEGROUND (PUBG) adalah permainan tembak-menembak dalam kategori Multiplayer Online Battle Royale, yang kini menjadi kegilaan ramai terutama dalam kalangan anak muda dengan lebih 100 juta versi ‘mobile’ dimuat turun seluruh dunia.
Permainan yang mula dikeluarkan, Mac tahun lalu itu pada awalnya akan menempatkan pemain dalam sebuah pulau bagi mencari kelengkapan dan senjata untuk menewaskan pencabar lain. Pemain perlu melindungi nyawa mereka sementara kawasan tersebut semakin kecil dan sempit, di mana pemain terakhir yang terselamat dikira sebagai pemenang.
Di Malaysia, pertumbuhan e-sukan untuk PUBG semakin mencanak naik. Banyak pertandingan PUBG dianjurkan dengan ganjaran lumayan ditawarkan, sekaligus, merancakkan pertumbuhan pasukan untuk mengharungi pertandingan tersebut.
Salah satu pasukan profesional yang sememangnya popular dan sedang meningkat naik dalam komuniti PUBG tanah air adalah The Face Gaming.
Jelas kapten, Afiq Afzainizam, elemen kekuatan dan keseronokan permainan PUBG ialah apabila setiap pemain akan diuji dengan kerjasama berpasukan dalam usaha memburu gelaran ‘winner winner chicken dinner’.
“Sekalipun permainan ini nampak mudah, namun, sebenarnya ia kompetitif dan memerlukan konsentrasi serta kerjasama yang tinggi daripada rakan sepasukan.
“Komunikasi sangat penting dalam PUBG, selain, perlu membuat keputusan drastik contohnya, mencari kawasan ‘camping’ dengan selamat,” katanya yang juga berperanan sebagai shotcaller dalam permainan aksi tersebut.
Selain Afiq, The Face Gaming dibarisi empat lagi pemain iaitu Muhamed Zackri Muizz Mohamed Yasin, Azizan Hasnor, Mohammad Azali Ismail dan Mohamed Farhan Johari. Menariknya, kesemua mereka bekerja sebagai ‘streamer’ iaitu individu yang bermain permainan video sambil membuat siaran langsung dalam laman sosial untuk tatapan awam.
Sementara itu, mengulas mengenai pembahagian masa untuk sesi latihan bersama pasukan dan menjalani rutin harian, Azali berkata, The Face Gaming kebiasaannya akan berlatih pada waktu malam bermula pukul 8 hingga 12.
“Tetapi jika menjelang pertandingan, kami akan membuat persediaan lebih rapi dan giat, selain, membuat kajian dan merancang strategi untuk menang,” ujarnya yang sudah mengenali rakan sepasukan yang lain lebih lima tahun.
Dalam pada itu, Farhan mengingatkan agar penggemar PUBG sentiasa menjaga kesihatan dan mengamalkan pemakanan sihat serta bersenam memandangkan permainan sebegini tidak memerlukan pergerakan fizikal berat.










