Puaka merasuk keluarga - Utusan Malaysia

Puaka merasuk keluarga

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Minggu ini, saya sambung semula cerita mengenai pusaka atau puaka yang diulas sebelum ini. Sejak 20 tahun lepas, saya kerap menceritakan kebarangkalian puaka merasuk urusan pusaka tetapi ramai yang tidak percaya.

Mereka kata tidak mungkin keadaan puaka ini akan berlaku kepada keluarga kerana anak-anak mereka dididik dengan penuh kasih sayang dan didikan agama yang baik. Saya secara peribadi telah melalui pengalaman mengendalikan kes puaka merasuk ini dan berdasarkan apa yang dilalui.

Tuntutan tiada saksi

Pasangan guru pencen yang telah pun mengerjakan haji, Murad dan Fatimah dikurniakan tiga orang anak, Salihin, Salleh dan Salawati (semua bukan nama sebenar). Sebagai seorang ustaz yang dihormati, kesemua anak ini dibesarkan dengan penuh kasih sayang dan didikan agama yang baik. Walaupun hidup sederhana tetapi keluarga ini bahagia.

Anak-anaknya semua berjaya dalam pelajaran dan kerjaya masing-masing. Salihin seorang jurutera, Salleh seorang doktor dan Salawati pula seorang guru. Pada usia 75 tahun, Murad me­ninggal dunia kerana serangan jantung dan dua tahun kemudian isterinya pula pada usia 72 tahun.

Murad meninggalkan harta pusaka sebuah rumah bernilai RM500,000 dan wang tunai RM100,000 di dalam akaun Lembaga Tabung Haji manakala Fatimah pula meninggalkan sejumlah barang kemas bernilai hampir RM60,000.

Dalam perbincangan keluar­ga, Salleh mendakwa bahawa ayahnya pernah meminjam RM50,000 daripadanya kerana ingin membuat majlis perkahwinan Salawati. Jadi, Salleh ingin menuntut semula hutang tersebut daripada akaun tabung haji ayahnya. Salihin dan Salawati tidak bersetuju kerana menurut mereka tiada bukti dan saksi.

Salawati pula mendakwa sepanjang dia menjaga ibu selepas kematian ayahnya, ibunya telah ‘menghibahkan’ kesemua barang kemasnya kepada Salawati sebagai balasan kepada jasanya menguruskan ibunya ketika uzur. Salihin dan Salleh pula tidak bersetuju dan mahukan barang kemas ibu mereka diagih secara faraid.

Salihin juga ada tuntutannya tersendiri. Dia mendakwa telah mengeluarkan perbelanjaan untuk mengubah suai rumah pusaka itu sebanyak RM40,000 dan juga menuntut supaya rumah itu diserahkan kepadanya sebagai penjelasan hutang ayah. Salleh dan Salawati pula menolak dakwaan itu.

Pergaduhan keluarga

Semasa perbincangan, per­tengkaran hangat tercetus. Maki hamun terhambur sehingga Salihin dan Salleh yang gagal mengawal perasaan bertumbuk sesama sendiri manakala Salawati meninggalkan perbinca­ngan kerana tidak berpuas hati. Saya sendiri pun cepat-cepat meninggalkan perbincangan ini, takut-takut saya pula terjebak dalam royal rumble itu.

Tidak percaya? Percayalah. Ini realiti yang berlaku bila puaka merasuk. Bukan sekadar drama televisyen untuk tontonan semata-mata. Inilah adik-beradik yang membesar, makan, bermain, ke­tawa, menangis bersama dan diberi didikan agama dengan penuh kasih sayang oleh ibu bapanya.

Hubungan silaturahim adik-beradik ini terputus dan mereka tidak pernah bertemu selama 12 tahun sejak pertengkaran itu. Hari raya tidak ziarah-menziarahi malah tahlil arwah pun tidak bersama.

Wang akaun Tabung Haji yang tidak mempunyai penama dan rumah pusaka masih di atas nama Murad manakala barang kemas Fatimah semuanya telah dileburkan oleh Salawati dan dibuat barang kemas baharu yang kini dipakai oleh Salawati dan anak-anaknya.

Catat hutang si mati

Apa hukumnya? Dari segi hukum faraid, kesemua harta pusaka adalah milik tiga anak ini iaitu Salihin (2/5 bahagian), Salleh (2/5 bahagian) dan Salawati (1/5 bahagian). Ini adalah hukum yang ditetapkan oleh Allah.

Jika tiada permuafakatan tentang bagaimana harta pusaka itu ingin diagih, maka inilah formula asasnya. Bab hutang si mati, sebaiknya semasa hidup catatan dibuat dengan bersaksi jika benar akadnya ialah ‘hutang’. Malangnya tiada catatan dan saksi dibuat semasa hidupnya.

Inilah yang saya pesan kepada masyarakat sejak 20 tahun yang lepas. Selagi kita masih hidup, buatlah perancangan harta de­ngan baik untuk mengelakkan puaka merasuk waris-waris kita selepas kematian.

Ia juga untuk mengelak waris berbalah kerana harta yang kita tinggalkan. Sedih dan pilu jika akibat kelalaian kita merancang harta semasa hidup kita, hubu­ngan silaturahim waris terjejas.

Dari segi perancangan harta, ketika masih hidup, Murad boleh saja menghibahkan rumahnya kepada ketiga-tiga anak secara sama rata iaitu 1/3 setiap seorang. Fatimah juga jika benar dia mahukan barang kemasnya dimiliki oleh Salawati, maka dia boleh menghibahkan barang kemas itu kepada Salawati.

Urusan hibah ini pula sebaik­nya dibuat secara berdokumentasi dan mengikut keperluan hukum syarak. Berjumpa dan berbincanglah dengan profesional seperti syarikat amanah dan peguam syarie untuk ke­perluan perancangan harta kita. Kelak, harta dapat diwariskan dengan cepat dan hubungan silaturahim waris-waris terpelihara berpanjangan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN