Proton lancar Iriz 2019 yang dipertingkat bulan depan - Utusan Malaysia

Proton lancar Iriz 2019 yang dipertingkat bulan depan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUBANG –  Pengeluar kereta nasional, Proton Holdings Bhd. merancang untuk melancarkan model Iriz 2019 yang dipertingkat pada bulan depan selepas melaksanakan 367 pembaharuan sebagai sebahagian wajah baharu model tersebut. 

Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Dr. Li Chunrong berkata, kereta itu akan menampilkan unit stereo pintar yang menggunakan eSIM dan menawarkan aplikasi seperti penstriman muzik, sistem navigasi dan pengecaman suara seperti ciri-ciri X70, kenderaan utiliti sukan pertama Proton.

“Susulan pelancaran Proton X70, Proton Iriz 2019 akan menjadi model kedua yang dilengkapi fungsi tawaran unit stereo pintar seperti pengecaman suara, sistem navigasi dan penstriman muzik di samping menggunakan kata laluan yang sama, Hi Proton!, bagi mengakses sistem,” katanya pada pemberita semasa previu Iriz baharu kepada media di sini hari ini.

Beliau berkata, penambahbaikan lain termasuk bampar depan baharu yang menyerlah disempurnakan dengan gril radiator bawah terkini serta lampu nyalaan siang (DRL) diod pemancar cahaya (LED) yang menambahkan lagi sentuhan sofistikated kepada keseluruhan reka bentuk.

Li berkata, di bahagian belakang, perkataan PROTON kini tampak lebih jelas dengan diletakkan pada bahagian tailgate, yang mana sebelum ini dihiasi logo.

“Secara visual, ia kini kelihatan lebih lebar, dengan kesan lebih ditumpukan pada bampar belakang baharu berserta garisan menegak dan garisan bampar baharu,” katanya.

Beliau berkata, kereta itu juga diberi penarafan lima bintang bagi aspek keselamatan mengikut Program Penilaian Kereta Baharu bagi Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN NCAP).

Tambahnya, sempena pelancaran Iriz 2019 itu nanti, Proton akan mengadakan jualan kilat mulai esok hingga 11 Mac 2019 dengan pembeli yang berminat boleh menempah secara dalam talian  pada hanya RM9.99.

“Menerusi langkah itu, Proton juga akan memberi ganjaran cukai jalan percuma selama dua tahun kepada mereka sebagai tanda penghargaan kami atas tempahan Iriz sebelum pelancarannya nanti,” katanya.

Li berkata, Proton juga akan mengadakan previu pelanggan di beberapa outlet Proton Edar untuk memberi peluang kepada orang ramai melihat Iriz 2019 secara lebih dekat sebelum pelancaran rasmi.

Iriz baharu ditawarkan dengan lima warna pilihan iaitu perak, putih, kelabu, merah dan hijau dengan lima varian iaitu Standard 1.3 liter (transmisi manual), standard 1.3 liter (transmisi boleh laras berterusan (CVT), Executive 1.3 liter CVT, Executive  1.6 liter CVT, dan Premium 1.6 liter. – Bernama

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN