Profil pendidikan MB dalam portal kerajaan negeri sudah ditukar - Utusan Malaysia

Profil pendidikan MB dalam portal kerajaan negeri sudah ditukar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU 14 Feb. – Portal rasmi Kerajaan Negeri Johor Darul Ta’zim tidak lagi memaparkan latar belakang pendidikan Menteri Besar, Datuk Osman Sapian seperti yang ditunjukkan sebelum ini, hasil semakan dibuat pada Sabtu lalu.

Semakan Utusan Online di www.johor.gov.my hari ini mendapati latar belakang pendidikan profil Menteri Besar sudah ditukar kepada Kerjaya & Perniagaan, yang menyenaraikan jawatan yang pernah dipegang Osman.

Sebelum ini, paparan di profil Menteri Besar menyenaraikan kelulusan beliau seperti Ijazah Perakaunan Universiti Pertanian Malaysia (UPM), Diploma Perakaunan UPM dan Sijil Perakaunan (1985) Metro Manila College, Manila Philippine.

Hari ini, sebuah portal berita tempatan melaporkan, Osman mengakui pernah mengikuti Pengajian di Kolej Pertanian Malaya, namun beliau tidak menamatkan pengajian ketika menuntut di kolej berkenaan.

Kolej Pertanian Malaya dinaik taraf kepada Universiti Pertanian Malaysia dan kini dikenali sebagai Universiti Putera Malaysia (UPM).

Portal berita itu turut melaporkan, Osman mendakwa beliau tidak mengetahui berhubung kelayakannya yang mempunyai kelulusan Diploma dan Ijazah Perakaunan seperti dipaparkan di beberapa laman web.

Beberapa media tempatan menerusi kumpulan Whatsapp Media MB Johor hari ini turut meminta kenyataan rasmi berhubung perkara itu, namun sehingga pukul 7 petang, tiada sebarang maklum balas diterima. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN