PRK Semenyih: Syed Saddiq nafi cetus provokasi pada hari penamaan calon - Utusan Malaysia

PRK Semenyih: Syed Saddiq nafi cetus provokasi pada hari penamaan calon

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA NERUS – Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman hari ini menafikan beliau sengaja melakukan provokasi dengan melalui kawasan penyokong Barisan Nasional (BN) selepas penamaan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri Semenyih semalam.

Beliau berkata, ia adalah persepsi yang cuba dibina oleh pihak tertentu untuk menyalahkan dirinya sedangkan perkara itu tidak betul.

“Kedatangan saya semalam adalah sebagai Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), bukan sebagai Menteri Belia dan Sukan. Jadi saya pandu kereta sendiri. Saya tak tahu macam mana (seperti dakwaan) saya boleh tiba-tiba turun dan parkir kereta di situ sedangkan saya parkir jauh di bawah bukit dan kejadian adalah selepas selesai penamaan calon.

“Ada bukti video menunjukkan saya berjalan keluar dan semua orang sudah bersurai ketika itu, malah lalu lintas jalan raya pun seperti biasa dengan kereta lalu-lalang. Jarak saya dengan penyokong BN juga agak jauh. Kalau saya nak cari gaduh, takkanlah saya nak datang seorang dengan dua, tiga orang rakan,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika diminta mengulas mengenai dakwaan sesetengah pihak kononnya beliau sengaja membuat provokasi dengan turun dari kereta di kawasan yang dikhususkan untuk penyokong BN yang datang ke Dewan Seri Cempaka, Majlis Perbandaran Kajang itu. – Bernama
 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN