PRK Semenyih: SPR sasar 70 peratus keluar mengundi - Utusan Malaysia

PRK Semenyih: SPR sasar 70 peratus keluar mengundi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HULU LANGAT 16 Feb.- Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menjangkakan peratusan keluar mengundi untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih bakal mencapai 70 peratus.

Pengerusi SPR, Azhar Azizan Harun berkata, pihaknya optimis peratusan tersebut dapat dicapai dengan mengambil kira dinamik yang terlibat dalam PRK kali ini.

“Peratusan tersebut merupakan anggaran kami oleh kerana dinamik yang terlibat dalam kawasan PRK Semenyih kali ini, 70 peratus itu mungkin boleh dicapai.

“SPR juga berharap para pengundi dapat keluar mengundi untuk menunaikan hak dan tanggungjawab mereka dan kami memohon semua pihak khususnya media memainkan peranan untuk menggalakkan pengundi agar keluar mengundi pada 2 Mac nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas selesai proses penamaan calon PRK Semenyih di Dewan Seri Cempaka, Majlis Perbandaran Kajang, Saujana Impian di sini hari ini.

Sementara itu, tambah Azhar Azizan, selesainya proses penamaan calon bermakna bermulalah tempoh rasmi berkempen sehingga pukul 11.59 malam, 1 Mac depan.

“Bagi tujuan memantau aktiviti berkempen sepanjang tempoh rasmi berkempen, SPR telah menubuhkan empat Pasukan Penguatkuasa Kempen Pilihan Raya (PP-KPR).

“Ini selaras dengan peruntukan undang-undang di bawah Seksyen 27B Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN