SEMENYIH – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini mengeluarkan sebanyak 234 kertas undi pos bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih.
Pengerusinya, Azhar Azizan Harun berkata, pengeluaran tersebut dijalankan oleh petugas pilihan raya di Bilik Gerakan Undi Pos di Metro Avenue, Kajang meliputi beberapa kategori undi pos.
Beliau berkata, kategori itu termasuk Pemilih Tidak Hadir (PTH) Luar Negara iaitu penjawat awam yang bertugas di luar negara dan pasangannya serta pelajar sepenuh masa dan pasangannya membabitkan seramai 32 pengundi seperti di Australia, Jerman, Romania, Rusia, Iran, Austria, India, Maghribi, Jepun, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Brunei.
Selain itu, permohonan Borang 1A (petugas pilihan raya, polis dan tentera) adalah seramai 199 pengundi yang masing-masing meliputi 106 orang petugas pilihan raya dan 93 anggota polis Pasukan Gerakan Am (PGA).
“Permohonan Borang 1B (warganegara Malaysia yang berada di luar negara) seramai tiga pengundi dari Korea Selatan dan Jepun, manakala tiada pengeluaran bagi kategori Borang 1C (anggota petugas kesihatan dan keselamatan yang dibenarkan) kerana tiada permohonan diterima,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. – Bernama











