KAJANG – Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo berharap pengguna media sosial lebih bertanggungjawab khususnya dalam berkongsi maklumat di akaun mereka semasa tempoh berkempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih ketika ini.
Menurutnya, mereka perlu memastikan maklumat yang ingin dikongsi adalah maklumat sah dan tidak tergesa-gesa berkongsi maklumat tanpa menyelidikinya terlebih dahulu.
“Maklumat tidak tepat boleh membawa kepada keadaan yang memudaratkan, kita pun tak nak mana-mana calon yang menerima kesan oleh fitnah media sosial, kita perlu berhati-hati,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas proses penamaan calon PRK DUN Semenyih di Dewan Seri Cempaka, Majlis Perbandaran Kajang di sini, hari ini.
PRK itu menyaksikan pertandingan empat penjuru antara calon Pakatan Harapan (PH), Muhammad Aiman Zainali dengan calon Barisan Nasional (BN) Zakaria Hanafi; Nik Aziz Afiq Abdul daripada Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan seorang calon bebas Kuan Chee Heng.
Ia diadakan berikutan kematian penyandang kerusi berkenaan, Bakhtiar Mohd Nor daripada Bersatu yang mewakili PH pada 11 Januari lepas akibat serangan jantung. – Bernama










