PUTRAJAYA sebagai Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan merupakan salah sebuah destinasi popular terutama dalam kalangan pelancong luar yang mahu melihat keindahan landskap dan alam semula jadi di bandar moden itu.
Walaupun menjadi buah mulut pelancong asing, Putrajaya hakikatnya jarang dikunjungi masyarakat tempatan sekali gus menjadikan beberapa kawasan yang dibangunkan untuk tujuan pelancongan serta rekreasi menjadi suram.
Menyedari hal itu, Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Samad baru-baru ini melancarkan program Placemaking@Jejak Sisiran di Presint 1.
Ia bertujuan mempromosi dan menambah daya tarikan kawasan pesisiran Tasik Putrajaya 1 sepanjang tiga kilometer dengan fasa permulaan difokuskan kepada Jejak Sisiran Presint 1.
Sebagai permulaan, program Placemaking@Jejak Sisiran Putrajaya dimulakan dengan projek Mural Art@Alamanda Steps di pekarangan pusat beli-belah Alamanda.
Menurut Pengarah Bahagian Pembangunan Mapan Perbadanan Putrajaya (PPj), Norzita Abdul Razak, pekarangan pusat beli-belah Alamanda yang mengadap Tasik Putrajaya berpotensi muncul sebagai lokasi riadah untuk seisi keluarga.
Tinjauan Mega Rona mendapati kawasan itu kelihatan tidak bermaya kerana jarang dikunjungi.
Mengulas perkara tersebut Norzita memberitahu, disebabkan itulah pihaknya menggerakkan projek komuniti melibatkan kawasan tangga dan pekarangan pusat beli-belah Alamanda bagi menceriakan lagi kawasan itu sekali gus menarik orang ramai datang ke situ.
“Reka bentuk mural dihasilkan oleh Pertubuhan Perancang Malaysia (MIP) dan kerja-kerja mengecat dilakukan secara sukarela oleh sukarelawan yang terdiri dalam kalangan komuniti Putrajaya.
“Program ini mendapat kerjasama pusat beli-belah Alamanda dan Putrajaya Holdings,” katanya.
Norzita berkata, program ‘placemaking’ merupakan satu pendekatan yang diambil oleh PPj untuk menceriakan kawasan lapang.
Melalui program itu, sesebuah kawasan lapang akan dibangunkan dan ‘dihidupkan’ semula bersama penglibatan komuniti setempat.
“Apabila kawasan lapang ini kelihatan ceria, ia dapat meningkatkan lagi kedatangan pengunjung ke situ, sekali gus mencorak gaya hidup masyarakat setempat menjadi lebih baik, sihat dan bersemangat.
“Selepas ini program placemaking akan dikembangkan ke tujuh lokasi lain iaitu Dataran Putra, Laman Perdana, Persiaran Perdana, Dataran Rakyat Presint 4, Taman Seri Ampangan, Sisiran Tasik Presint 4 dan Sisiran Tasik Presint 2,” katanya.
Sementara itu, sukarelawan yang juga aktivis komuniti Putrajaya, Mohd. Azmi Kassim berkata, inisiatif PPj melibatkan komuniti setempat dalam program tersebut merupakan langkah tepat kerana dapat menanam rasa cinta masyarakat untuk lebih mengenali dan menyayangi bandar berkenaan.
“Sebenarnya banyak kemudahan terdapat di Putrajaya tetapi tidak digunakan sepenuhnya oleh penduduk kerana mungkin mereka sendiri tidak tahu tentang kewujudannya.
“Dengan adanya program placemaking bukan sahaja dapat menceriakan, malah memberi peluang kepada komuniti setempat untuk lebih mengenali setiap ceruk Putrajaya,” katanya.











