KUALA LUMPUR 11 Feb. – Portal berita milik DAP, Roketkini pada Jun 2013 didapati pernah menyiarkan laporan yang mempertikaikan ijazah milik dua ahli Kabinet kerajaan Barisan Nasional (BN) dengan mendakwanya sebagai palsu selain menggesa kedua-dua mereka meletakkan jawatan.
Dalam laporan bertajuk ‘DAP dedah menteri dengan ijazah palsu, desak letak jawatan’ yang bertarikh 26 Jun 2013 itu, dua ahli Kabinet iaitu Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Richard Riot Jaem serta Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr. Ewon Ebin didakwa memiliki ijazah palsu.
Berikutan itu, kedua-dua mereka dilihat perlu melepaskan jawatan untuk melindungi integriti dan kredibiliti Kabinet Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada masa itu.
Laporan atau artikel berkenaan dikongsi Najib dalam akaun Facebook beliau hari ini dengan menyertakan status:
“Itu dulu. Sekarang kalau rakyat sekadar hendak tanya tentang kesahihan ijazah menteri PH (Pakatan Harapan) sudah dikecam oleh Lim Kit Siang (Penasihat DAP) sebagai serangan politik paling beracun dan ganas dalam sejarah Malaysia,” katanya.
Menerusi hantaran itu, Najib turut mencetuskan persoalan sama ada maklumat berkaitan pencapaian akademik setiap menteri PH yang dilaporkan oleh Bernama adalah salah atau pegawai menteri sendiri memberi maklumat tidak sahih.
“Adakah Menteri Komunikasi dan Multimedia (Gobind Singh Deo) daripada DAP yang juga menteri jaga Bernama akan menyiasat siapa sebenarnya punca berita tidak sahih ini,” tanya Najib.










