VATICAN CITY 6 Feb. – Pemimpin agama Vatican City, Pope Francis buat pertama kali mengaku secara terbuka paderi dan biskop menganiaya secara seksual biarawati-biarawati dalam skandal terbaharu pada Gereja Katolik Roman.
Bercakap kepada media sebaik sahaja pulang dari lawatan rasmi ke Emiriah Arab Bersatu (UAE), beliau berkata, walaupun bukan semua paderi dan biskop melakukan perkara tersebut namun terdapat sesetengah daripada mereka bertindak sedemikian.
“Saya rasa perlakuan ini terus berlaku. Kita telah dan sedang mengusahakan sesuatu (membendung perkara tersebut),” katanya seperti dipetik oleh al-Jazeera.
Majalah wanita Vatican, Women Church World bagi edisi terbaharu mengutuk penganiayaan itu dengan menyatakan sesetengah kes biarawati dipaksa menggugurkan anak.
Majalah tersebut memberi amaran bahawa biarawati ‘terpaksa berdiam diri’ selama beberapa dekad kerana takut balas dendam.
Majalah itu juga melaporkan, Vatican ada menerima laporan tentang penderaan seksual oleh paderi di Afrika pada 1990-an.
“Jika gereja terus menutup matanya terhadap skandal berkenaan, penindasan wanita dalam gereja tidak akan pernah berubah,” tulis editor majalah, Lucetta Scaraffia.
Francis menambah, secara umumnya penganiayaan terhadap wanita adalah masalah dalam masyarakat, di mana wanita masih dianggap ‘warganegara kelas dua’.
“Ini masalah budaya. Saya berani mengatakan bahawa ini kemanusiaan tidak matang,” katanya sambil menambah di beberapa tempat di dunia, penganiayaan berlaku sehingga membawa kepada pembunuhan.
Tahun lalu, seorang biarawati India mendakwa seorang biskop berulang kali merogolnya.
Biskop Franco Mulakkal ditahan pada 21 September lalu di Kerala kerana disyaki merogol.










