JAKARTA 27 Feb. – Menteri Penyelaras Sektor Politik, Undang-Undang dan Keselamatan Indonesia, Wiranto mengingatkan semua parti politik supaya tidak cuba mencetuskan huru-hara sepanjang proses pilihan raya Presiden (Pilpres) yang bakal diadakan pada April ini.
Lapor Republika, beliau juga memberi amaran yang kerajaan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas terhadap individu yang dikenal pasti berbuat demikian.
“Jangan cuba menimbulkan kekecohan sehingga menggugat keselamatan negara, jika tidak mereka terpaksa berdepan polis dan Tentera Nasional Indonesia (TNI). Ini adalah tindakan terbaik kepada negara,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Kenyataan itu adalah susulan dakwaan bekas Panglima Tentera, Kivlan Zein yang menuduh Wiranto sebagai dalang utama di sebalik kekecohan pada 1998.
Menjelaskannya Wiranto memberitahu, beliau sebenarnya terpaksa campur tangan bagi meredakan keadaan ketika era tersebut.
Jelasnya, negara menjadi huru-hara selepas insiden tembakan di Universiti Trisakti dekat sini terhadap penuntut yang menyertai perhimpunan mendesak Presiden Indonesia ketika itu, Suharto untuk berundur. Kejadian itu menyebabkan empat penuntut terbunuh manakala lebih 10 lagi cedera.
“Saya terpaksa mengerahkan pasukan tentera dari Jawa Timur untuk memasuki Jakarta melalui jalan udara. Sebagai hasilnya, keadaan negara berjaya dikawal dan Indonesia kembali selamat dalam tempoh tiga hari,” katanya.
Kata Wiranto, beliau terpaksa bertindak secara pantas dan bijak bagi menyelamatkan Indonesia daripada mana-mana ancaman.
Beliau turut mencabar calon Pilpres, Prabowo Subianto dan Kivlan untuk melakukan ‘sumpah pocong’ terhadap tuduhan itu supaya masyarakat memahami keadaan sebenar.
“Saya berani (melakukan sumpah), jangan main tuduh sahaja,” katanya.











