SEMENYIH – Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerima 35 laporan polis sepanjang tempoh berkempen bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Semenyih yang bermula pada 16 Februari hingga hari ini.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kajang, Superitendan Mohd. Sabri Abdullah berkata, sehingga masa kini, terdapat 11 kertas siasatan telah dibuka.
“Kertas siasatan berkenaan antaranya melibatkan paksaan mengundi di bawah seksyen 9 Akta Pilihan Raya 1954, Seksyen 505 Kanun Keseksaan kerana kenyataan yang mendatangkan khianat awam serta kes berkaitan fitnah.
“PDRM juga sedang menjalankan siasatan terhadap sebuah laporan polis yang dibuat oleh seorang lelaki warga tempatan berkaitan isu provokasi kain rentang yang digantung di sekitar Semenyih sejak pagi Selasa lalu dan kenyataan daripada beberapa pihak telah diambil untuk membantu proses siasatan,” katanya pada sidang akhbar di Balai Polis Semenyih di sini hari ini.
Mohd. Sabri menambah, pihak polis juga telah mengeluarkan sebanyak 314 permit ceramah atau kempen politik.
“Pecahan tersebut terbahagi kepada Barisan Nasional (135), Pakatan Harapan (161), Parti Sosialis Malaysia (10) dan Bebas (8).
“Selain itu, bermula semalam, seramai dua pegawai dan 60 anggota polis trafik daripada pelbagai daerah di Selangor telah melapor diri di Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah Kajang bagi membantu membuat rondaan dan kawalan lalulintas serta mengiringi peti undi bagi hari pengundian nanti,” ujarnya. – K! ONLINE
Bermula pada hari ini dan esok, polis trafik yang bertugas mula menjalankan latihan penugasan bagi memastikan kelancaran kejadian pada hari pengundian Sabtu ini.










