Polis tahan enam individu terlibat kumpulan pengganas - Utusan Malaysia

Polis tahan enam individu terlibat kumpulan pengganas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Seramai enam individu terdiri daripada empat warga asing serta dua warga tempatan ditahan oleh Bahagian E8 Counter Terrorism Cawangan Khas Polis Diraja Malaysia (PDRM) kerana disyaki terlibat dalam kumpulan pengganas. 

Kesemua mereka ditahan dalam operasi khas yang dilakukan di sekitar Johor, Selangor serta Sabah di antara 19 Disember 2018 hingga 28 Januari lalu. 

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, tangkapan pertama dibuat pada 19 Disember tahun lalu melibatkan seorang lelaki warga Singapura berusia 48 tahun yang merupakan seorang ahli perniagaan di Johor Bahru. 

“Suspek dipercayai aktif berhubung serta telah membantu menyalurkan dana kepada Akel Zainal yang merupakan rakyat Malaysia yang menyertai kumpulan pengganas Daesh di Syria. 

“Suspek juga menerima arahan daripada Akel Zainal untuk merekrut beberapa individu bagi tujuan melancarkan serangan ke atas bangunan Freemason di Johor Bahru,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini. 

Menurut Mohamad Fuzi, tangkapan ke atas suspek merupakan hasil kerjasama di antara Cawangan Khas dan pihak Jabatan Keselamatan Antarabangsa (ISD) Singapura dan suspek telah diserahkan pada jabatan tersebut pada 7 Januari lalu selepas selesai menjalani proses soal siasat. 

Tambah Mohamad Fuzi, tangkapan kedua pada 19 Disember tahun lalu melibatkan seorang lelaki warga Bangladesh berusia 31 tahun yang merupakan seorang pekerja pembersihan di Klang, Selangor.

“Suspek dipercayai menyokong perjuangan kumpulan Daesh serta aktif merekrut individu tempatan untuk menyertai kumpulan pengganas tersebut. 

“Pada 10 Januari lalu pula dua individu warga tempatan berusia 38 tahun yang bekerja sebagai pekerja ladang di luar negara telah ditahan di Sepang, Selangor,” katanya. 

Jelas beliau, kedua-dua suspek berkenaan telah diusir pulang ke Malaysia selepas ditahan di negara tersebut kerana terlibat memberi sokongan kepada kumpulan pengganas Daesh di Syria. 

“Seorang daripada suspek juga didapati telah menyalurkan dana kepada Khairul Amizan Azmi, rakyat Malaysia yang menyertai kumpulan pengganas Daesh di Syria,” ujar beliau. 

Mengulas lanjut, Mohamad Fuzi berkata, pada 19 Januari lalu seorang lelaki warga Filipina berusia 21 tahun yang merupakan seorang buruh binaan telah ditahan di Kota Kinabalu, Sabah. 

“Suspek yang didapati menyeludup masuk ke dalam negara ini secara tidak sah merupakan anggota kumpulan Abu Sayyaf Group (ASG), mempunyai kemahiran mengendalikan pelbagai jenis senjata api selain turut mempunyai hubungan dengan pemimpin ASG di Selatan Filipina, Furuji Indama,” katanya. 

Mohamad Fuzi berkata, tangkapan terakhir melibatkan seorang lelaki 26 tahun yang berasal dari sebuah negara di Asia Selatan dan bekerja sebagai tukang rumah. 

“Suspek telah memberikan perlindungan kepada seorang individu dari sebuah negara di Asia Selatan yang disenaraihitamkan dalam Notis Merah Interpol kerana terlibat dengan pelbagai aktiviti jenayah serta keganasan. 

“Kesemua suspek ditahan disyaki melakukan kesalahan di bawah Bab VIA – Kesalahan Berkaitan Dengan Keganasan, Kanun Keseksaan (Akta 574) dan akan disiasat mengikut prosedur di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Akta 747). – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN