Polis siasat insiden di sempadan Malaysia-Thailand - Utusan Malaysia

Polis siasat insiden di sempadan Malaysia-Thailand

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR 17 Feb. – Polis telah melakukan siasatan terhadap kekecohan di pintu sempadan Malaysia-Thailand yang ditutup kira-kira 15 minit akibat tindakan tidak berpuas hati sekumpulan individu rakyat Thailand di Bukit Kayu Hitam, di sini hari ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Senior Asisten Komisioner Mior Faridalatrash Wahid berkata, siasatan dilakukan di bawah Seksyen 187 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas.

“Tindakan ini dipercayai dilakukan oleh kumpulan penarik motor tambang yang tidak berpuas hati dengan operasi penguatkuasaan ketat oleh pihak berkuasa Malaysia seperti Jabatan Imigresen, trafik dan lain-lain agensi terhadap mereka.

“Setakat ini, belum ada sebarang tangkapan dilakukan dan siasatan lanjut sedang dijalankan,” katanya di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 11.30 pagi itu, orang ramai terutamanya pelancong dan pemandu kenderaan berat terperangkap hampir 15 minit selepas pintu pagar sempadan berdekatan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) ditutup.

Difahamkan, operasi bersepadu itu ‘menjejaskan’ warga Thailand yang berulang-alik menaiki motosikal untuk mengambil penumpang yang mahu memasuki negara itu selepas meletak kenderaan di kawasan parkir kompleks bebas cukai berdekatan.

Kejadian tersebut tular di media sosial apabila beberapa video memaparkan pintu pagar Malaysia yang berwarna putih tertutup rapat dan dipenuhi orang ramai yang berkumpul untuk menyaksikan kejadian itu. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×