KUALA LUMPUR – Tindakan pendakwaan terhadap Exco Pemuda UMNO, Wan Muhammad Azri Wan Deris atau Papagomo dikatakan menyerang Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dijangka ketahui esok.
Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim berkata, tindakan sama ada Papagomo didakwa atau siasatan lanjut diteruskan akan diketahui esok susulan pihak polis cadang menyerahkan kertas siasatan kepada Timbalan Pendakwa Raya hari ini.
“Papagomo sudah dibebaskan dengan jaminan polis semalam selepas kita selesai menjalankan semua siasatan dan tindakan lanjut sama ada untuk pendakwaan atau lain-lain kita diketahui esok,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Istiadat Penganugerahan Pingat Jasa Pahlawan Negara kepada 280 pegawai dan anggota bagi Kontinjen Kuala Lumpur di Pulapol di sini hari ini.
Kosmo! semalam melaporkan Exco Pemuda UMNO, Wan Muhammad Azri Wan Deris atau lebih dikenali sebagai Papagomo yang direman tiga hari bagi membantu siasatan kes melibatkan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dibebaskan dengan jaminan polis.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kajang, Superintendan Mohd. Sabri Abdullah berkata, lelaki itu dibebaskan selepas pihak polis menyelesaikan proses siasatan.
“Kertas siasatan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya Selangor dalam masa terdekat untuk mendapatkan arahan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan. – K! ONLINE










