PM seru anak muda sertai APM - Utusan Malaysia

PM seru anak muda sertai APM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LANGKAWI 24 Feb. – Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menyeru golongan muda agar menyertai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) seterusnya dapat membentuk diri menjadi lebih baik, bertanggungjawab serta berdisplin.

Beliau berkata, meskipun angkatan itu telah bergerak aktif sejak diwujudkan pada 1952, namun masih ramai dalam kalangan anak muda tidak berminat untuk menyertainya.

Katanya, hal demikian kerana masih ramai tidak sedar mengenai fungsi dan peranan yang dimainkan oleh APM kepada masyarakat.

“Kerana itu perlu lebih banyak interaksi antara APM dan masyarakat. Pendedahan yang meluas dapat menarik perhatian rakyat dan anak-anak muda untuk sedar mengenai pengalaman yang dilalui oleh anggota APM seterusnya bakal menarik minat golongan ini untuk me­nyertainya.

“Saya juga berharap agar pihak media dapat membantu untuk menghebahkan peranan dan fungsi APM kepada rakyat. Masyarakat perlu sedar di dalam keadaan bencana, sama ada kebakaran, kemalangan mahupun apabila seseorang individu itu pengsan, APM adalah barisan paling hadapan sebelum agensi-agensi kerajaan sampai untuk membantu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Kompleks Pejabat APM Langkawi di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pesuruhjaya APM, Datuk Roslan Wahab; Pengerusi Jawatankuasa Penerangan Komunikasi dan Multimedia, Mohd. Firdaus Ahmad dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Hangat, Juhari Bulat.

Tambah Dr. Mahathir, APM telah menjadi tanda aras me­ngenai semangat sukarelawan di Malaysia dan disebabkan itu beliau menyokong dan menggalakkan rakyat khususnya anak-anak muda menyertai ang­katan tersebut.

“Antara kelebihan menyertai APM ialah dapat membentuk kita lebih bertanggungjawab, tidak mementingkan diri, berani, berdisiplin dan semangat setiakawan. Selain itu, ia juga dapat membentuk kesedaran dan jati diri serta tidak mudah terpengaruh dengan anasir-anasir buruk,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menjelaskan bahawa kerajaan tidak pernah berhenti daripada terus memberi sokongan dan bantuan sama ada dalam bentuk dana atau peralatan kepada APM.

“Kita mahu APM mempunyai kelengkapan yang setimpal dengan usaha dan tugasan yang mereka lakukan. Selain itu, APM telah membuktikan bahawa ia salah satu badan yang berjaya menarik keanggotaan pelbagai kaum dan menjadikan ia satu model kerjasama baik di antara kaum di negara ini,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN