KUALA LUMPUR 12 Feb. – Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad berharap Malaysia akan terus menghasilkan lebih ramai bintang dalam sukan permotoran, bukan sahaja sebagai pelumba atau pemandu, tetapi juga sebagai jurutera.
“Malaysia kini bukan hanya melihat kepada perlumbaan sahaja, tetapi juga bidang kejuruteraan. Wang yang dibelanjakan untuk membina litar (Litar Antarabangsa Sepang) telah digunakan sebaiknya.
“Saya berharap F1 akan kembali (ke Malaysia) suatu hari nanti,” kata Dr. Mahathir dalam ucapan ringkas selepas menerima Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat di Anugerah Sukan Permotoran Petronas SIC – Persatuan Permotoran Malaysia (MAM) 2018 di sini malam ini.
Beliau mengakui bahawa idea membina Litar Antarabangsa Sepang telah membuka jalan bagi pembangunan bakat tempatan dan pemindahan teknologi dalam sukan permotoran.
Dr. Mahathir berkata, beliau mendapat idea untuk membina sebuah litar perlumbaan antarabangsa ketika melawat sebuah litar pelumbaan iaitu, Litar Autodromo di Portugal dan tidak pernah terfikir yang Malaysia akan mempunyai sebuah litar perlumbaannya sendiri.
“Saya dapat melihat penerimaannya amat baik, bukan sahaja untuk menonton perlumbaan F1, tetapi juga untuk menyertai perlumbaan itu sendiri,” katanya.
Tun Dr. Mahathir merupakan penerima pertama Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat. – BERNAMA
SENARAI PEMENANG ANUGERAH
Pencapaian Seumur Hidup: Tun Dr. Mahathir Mohamad
Dewan Kemashyuran: Allen Oh, Ng Wai Leong, Jazeman Jaafar, Nabil Jeffri, Weiron Tan, Kuan Huah Chin
Pemandu Antarabangsa Terbaik PETRONAS: Jazeman Jaafar
Pelumba Antarabangsa Terbaik PETRONAS: Hafizh Syahrin Abdullah (MotoGP)
Pemandu Tempatan Terbaik SIC: Mark Darwin
Pelumba Tempatan Terbaik SIC: Muhammad Helmi Azman
Pasukan Tempatan Terbaik (dua roda): SCK Rapido Hi-Rev Honda Racing
Pasukan Tempatan Terbaik SIC (empat roda): Fream Chaser
Atlet Harapan Wanita Permotoran: Leona Chin
Atlet E-permotoran Terbaik SIC: Ady Rahimy, Angeline Lee
Pemandu Paling Menyerlah: Brendan Paul Anthony
Pelumba Paling Menyerlah: Danial Syahmi Shahril
Pembangunan Permotoran KBS: Danial Syahmi Shahril
Pilihan Ramai: Hafizh Syahrin Abdullah
Media (cetak) SIC-MAM-SAM Terbaik: Sukhairi Thani -BH
Media (jurugambar) SIC-MAM-SAM Terbaik: Riduan Rizal Ahmad-Utusan
Media (elektronik) SIC-MAM-SAM Terbaik: Hasnida Hanim Ahmad Kamil, Aji Seregar – TV3










