KUALA LUMPUR 12 Feb. – Khabar angin mengatakan PKR telah memecat Timbalan Presidennya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali disahkan sebagai berita palsu.
Sambil menafikan perkara itu, Ketua Penerangan PKR, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd. Akin juga memberitahu tidak ada sebarang perbincangan sedemikian diadakan dalam parti berkenaan.
“Malah, tiada mesyuarat diadakan malam tadi (sebagaimana didakwa). Khabar angin tetaplah khabar angin,” katanya melalui pesanan aplikasi WhatsApp seperti dipetik portal Malaysiakini hari ini.
Khabar angin mendakwa Azmin telah dipecat daripada PKR telah tular dalam laman media sosial termasuk Facebook dan Twitter, malam tadi.
Walaupun tidak dapat dipastikan daripada mana khabar angin itu muncul namun warganet yang berkongsi khabar angin berkenaan nampak mudah mempercayainya apatah lagi persaingan dalaman PKR sudah pun menjadi rahsia umum.
Ramai sudah pun mengetahui ‘pertelingkahan’ antara Mohamed Azmin dengan Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli lebih-lebih lagi apabila Mohamed Azmin didakwa lebih cenderung menyebelahi Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Tun Dr. Mahathir Mohamad manakala Rafizi dilihat memihak Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Namun begitu, walaupun dakwaan berkenaan tersebar termasuk khabar angin mengatakan Mohamed Azmin akan dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri, tetapi hubungan antara Menteri Hal Ehwal Ekonomi itu dengan Anwar dilihat tetap utuh.
Perkara itu dapat dibuktikan apabila Anwar dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail meluangkan masa menziarahi Mohamed Azmin di rumahnya selepas menjalani pembedahan, baru-baru ini. – UTUSAN ONLINE










