BACHOK 28 Feb. – Pelbagai pendekatan dan bantuan yang dilaksanakan menerusi agensi Kerajaan Persekutuan bertujuan mencetuskan perubahan hidup yang membawa keluarga miskin tegar di negeri ini keluar dari kepompong kemiskinan.
Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) Kelantan, Amir Zakri Mahmad Mahyidin berkata, ini termasuk membekalkan barangan tertentu bagi membolehkan kumpulan sasaran menceburi perniagaan kecil- kecilan sebagai asas permulaan.
Menurutnya, bantuan yang disalurkan berasaskan keupayaan dan minat kumpulan sasar dan bukannya diputuskan pegawai agensi tertentu sehingga pemberian bantuan gagal dimanfaatkan.
“Kita telah melakukan bedah siasat berhubung kejayaan dan kegagalan penerima bantuan dalam usaha memastikan bantuan yang diberi disusuli kejayaan membawa keluar kumpulan berkenaan dalam senarai rakyat termiskin.
“JPP turut peka terhadap aspek pemantauan dan bimbingan selepas penerima mendapat bantuan yang disalurkan,” katanya ketika ditemui pemberita pada Program Pelancaran PruBSN di Bachok, dekat sini, hari ini.
Seramai 748 penerima manfaat skim perlindungan PruBSN Microtakaful Jariyah di Bachok daripada 8,600 ketua isi rumah seluruh Pantai Timur.
Majlis berkenaan turut menyaksikan penyampaian pampasan kematian tiga pewaris yang terpilih bagi skim itu yang masing-masing menerima RM18, 000 tiap seorang.
Amir Zakri berkata, data terkini e-kasih menunjukkan daerah Kota Bharu mencatatkan jumlah tertinggi sebanyak 1,573 keluarga miskin tegar diikuti Pasir Mas (1,117) dan Tanah Merah seramai 1,005 keluarga.
Menurutnya, jumlah pendapatan perkapita isi rumah sebanyak RM148 sebulan adalah Purata Garis Kemiskinan (PGK) yang diguna pakai dalam menyenaraikan keluarga tertentu dalam senarai data e-kasih.
“Pegawai kita turun padang untuk menemubual kumpulan sasaran untuk mendapat maklum balas keperluan mereka serta perencanaan menambah pendapatan ke tahap yang lebih tinggi,” katanya. – UTUSAN ONLINE










