Peruntukan RM50 juta untuk 815 buah sekolah tahfiz berdaftar - Utusan Malaysia

Peruntukan RM50 juta untuk 815 buah sekolah tahfiz berdaftar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA – Sebanyak 815 buah sekolah tahfiz berdaftar di negara ini layak memohon dana sebanyak RM50 juta seperti yang diperuntukkan dalam Belanjawan 2019 bagi tujuan menaik taraf dan menyelenggara institusi berkenaan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mujahid Yusof Rawa berkata, permohonan itu boleh dibuat bermula Mac ini sebelum peruntukan dapat disalurkan menjelang bulan Oktober depan.

“Kita juga secara proaktif turun padang untuk mendapatkan sekolah-sekolah tahfiz yang layak kerana mungkin mereka tidak tahu.

“Proses (pendaftaran) biasanya akan ambil masa tiga bulan. Kita harap menjelang bulan Oktober semua selesai dari segi pendaftaran,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Cek Kepada Sekolah Tahfiz Berdaftar di Kementerian Kewangan di sini hari ini.

Pada majlis itu, Mujahid Yusof menerima replika cek berjumlah RM50 juta daripada Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dengan disaksikan Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik.

Sementara itu, Mujahid berkata, peruntukan itu akan disalurkan kepada semua sekolah tahfiz berdaftar dengan syarat ia tidak dimiliki oleh mana-mana parti politik.

“Dana ini akan disalurkan ke sekolah tahfiz mengikut kriteria yang ditetapkan dan paling penting tidak ada unsur kepartian tidak kiralah apa-apa parti pun,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN