PUTRAJAYA 16 Feb.- Permohonan kemasukan ke program Matrikulasi Kementerian Pendidikan sesi 2019/2020 akan dibuka bermula dari 25 Februari sehingga 2 April ini.
Kementerian Pendidikan dalam kenyataan memaklumkan, permohonan itu hanya terbuka kepada para pelajar yang telah menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2018 dengan para pemohon boleh membeli nombor pengenalan individu (NPI) lima digit di mana-mana kaunter Bank Simpanan Nasional (BSN) berhampiran yang berharga RM10.
“Mereka boleh membeli nombor itu dengan menggunakan kad pengenalan atau dokumen pengenalan yang digunakan ketika mendaftar menduduki peperiksaan SPM sebelum ini,” kata kenyataaan itu di sini hari ini.
Menurut kenyataan sama lagi, para pemohon kini tidak perlu menghantar salinan keputusan SPM 2018 ke Bahagian Matrikulasi Kementerian Pendidikan sejurus keputusan diumumkan memandangkan maklumat itu diperoleh secara terus menerusi Lembaga Peperiksaan.
“Keputusan ke program Matrikulasi ini akan dikeluarkan melalui laman sesawang berkenaan. Selain itu, para pelajar yang berjaya perlu mencetak sendiri surat tawaran kerana tawaran akan dikeluarkan dalam talian sepenuhnya,” ujar kenyataan itu.-UTUSAN ONLINE










