Permohonan kuarters di Putrajaya melebihi jumlah unit disediakan - Utusan Malaysia

Permohonan kuarters di Putrajaya melebihi jumlah unit disediakan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA – Bahagian Pengurusan Hartanah (BPH) telah menerima sebanyak 22,082 permohonan bagi penjawat awam menduduki kuarters di Putrajaya berbanding sebanyak 22,007 unit yang diselia oleh bahagian itu.

Jabatan Perdana Menteri dalam kenyataannya berkata, sehingga kini, BPH sedang dan akan menyelenggara sebanyak 2,063 unit kuarters kosong sebelum penawaran baharu diberikan kepada pemohon dalam senarai menunggu dilaksanakan.

“Penyelenggaraan ini dilakukan bagi memastikan kuarters yang ditawarkan adalah selamat dan selesa untuk diduduki kakitangan awam yang berkhidmat di Putrajaya.

“Sebagai langkah penambahbaikan, BPH sedang melaksanakan inisiatif baharu untuk mempercepat kerja-kerja penyelenggaraan agar tempoh menunggu bagi setiap permohonan dapat dikurangkan pada tahun ini,” katanya hari ini.

Jabatan Perdana Menteri mengeluarkan kenyataan itu selepas akhbar Utusan Malaysia melaporkan dakwaan Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) berkenaan kuarters kosong dan permohonan menduduki kuarters yang tinggi di Putrajaya.

Mengulas lanjut mengenai isu penjawat awam yang masih mendiami kuarters selepas bersara, menurut kenyataan itu, mereka layak untuk memohon pelanjutan menduduki kuarters bagi tempoh tiga bulan selepas tarikh persaraan.

Ujarnya, kelulusan itu diberikan bagi memastikan penjawat awam mempunyai masa yang cukup untuk menguruskan perpindahan keluar dari kuarters dan menyerahkannya semula kepada BPH dalam keadaan yang baik.

“Bagi isu penjawat awam yang telah memiliki rumah melalui skim Perumahan Penjawat Awam Malaysia namun masih menduduki kuarters, BPH sentiasa melaksanakan pemeriksaan dari masa ke semasa untuk mengenal pasti mereka yang terlibat dan tindakan penguatkuasaan akan diambil,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN