Permohonan Khaled Saman batal pembelaan 6 Mac - Utusan Malaysia

Permohonan Khaled Saman batal pembelaan 6 Mac

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 13 Feb. – Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan 6 Mac ini untuk mendengar keputusan permohonan Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Abdul Samad bagi membatalkan penyataan pembelaan Presiden Gerakan Muslimah Islam Malaysia (GMIM), Wan Asshima Kamaruddin.

KHALID ABDUL SAMAD
KHALID ABDUL SAMAD 

Penyataan pembelaan itu adalah berkaitan saman Khalid terhadap Wan Asshima dikemukakan pada 13 September tahun lalu berhubung tindakan wanita itu yang merakam, memuat naik dan/atau menerbitkan sebuah video yang mengandungi kata-kata fitnah terhadapnya.

Hakim Datuk Nik Hasmat Nik Mohamad menetapkan tarikh itu selepas pendengaran permohonan berkenaan di kamar hakim dengan dihadiri peguam Muhammad Rafiqree Hamka yang mewakili Khalid dan peguam Wan Rohimi Wan Daud bertindak bagi pihak Wan Asshima, 35, yang dinamakan sebagai defendan tunggal dalam saman itu.

Mengikut penyataan tuntutan, Khalid, 62, selaku plaintif mendakwa defendan pada 18 Ogos tahun lalu dengan sengaja telah merakam, memuat naik dan/atau menerbitkan sebuah video yang mengandungi kata-kata fitnah di laman Facebook miliknya yang secara langsung merujuk kepada Khalid kerana nama dan jawatannya telah disebut secara spesifik.

Menurut Ahli Parlimen Shah Alam itu, kata-kata fitnah itu difahami bermaksud bahawa beliau sebagai Menteri Wilayah Persekutuan telah mengiktiraf dan mengiyakan kedudukan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) di Malaysia, menaik taraf serta melindungi hak golongan tersebut kerana berjaya menganjurkan dan meluluskan pesta gay yang terbesar di Kuala Lumpur sempena bulan Merdeka.

Khalid yang juga Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (Amanah) mendakwa rakaman itu juga menyatakan plaintif atas kapasiti sebagai menteri, pemimpin Amanah dan individu telah mencabuli hak asasi manusia beragama Islam, mencabuli undang-undang dan peraturan agama Islam yang termaktub dalam al-Quran dan Sunnah, menghina kedudukan agama Islam serta menggugat kedudukan wanita beragama Islam apabila menghalalkan dan/atau meluluskan pesta gay terbesar di Kuala Lumpur.

Khalid juga memohon mahkamah mengarahkan defendan menerbitkan permohonan maaf melalui satu video untuk dimuat naik di laman Facebook dan secara bertulis untuk diterbitkan di dalam akhbar Utusan Malaysia dan Berita Harian dalam masa 48 jam daripada tarikh perintah ke atas writ saman itu. – UTUSAN ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN