Permohonan Kad Sihat Johor kini dibuka - Exco - Utusan Malaysia

Permohonan Kad Sihat Johor kini dibuka – Exco

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU –  Permohonan untuk mendapatkan Kad Sihat Johor khusus untuk golongan B40 di negeri ini kini dibuka mulai semalam, kata Exco Kesihatan Negeri, Dr. Shahruddin Jamal.

Beliau berkata, permohonan itu boleh dilakukan secara dalam talian menerusi laman sesawang www.sihatjohor.com.my.

Borang permohonan yang telah lengkap diisi perlu dicetak dan dikemukakan ke Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) atau Penyelaras DUN untuk diperakuan, katanya.

Katanya lagi, insentif ini ditawarkan kepada keluarga yang berpendapatan tidak melebihi RM 4,830 sebulan namun dengan syarat semua anggota keluarganya berstatus warganegara Malaysia.

Beliau berkata pelaksanaan kad tersebut terbahagi kepada dua kategori  iaitu kategori A (untuk keluarga) dan kategori B (individu) dengan nilai masing-masing sebanyak RM500 dan RM200 setahun.

“Ia akan melayakkan pemiliknya menerima rawatan kesihatan dan perubatan dari hospital dan klinik swasta terpilih (klinik panel) namun had penggunaan kad adalah sebanyak RM50 bagi setiap rawatan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mereka yang dilindungi di bawah kategori keluarga ini ialah pemohon, suami atau isteri pemohon dan anak-anak yang berusia 18 tahun ke bawah atau sehingga 23 tahun sekiranya belum berkahwin dan masih belajar sepenuh masa di dalam negara.

Bagi kategori individu, kad ini pula ditawarkan kepada warganegara Malaysia yang berumur 21 tahun dan ke atas dengan pendapatan tidak melebihi RM1,500 sebulan.

Insentif perubatan ini diperkenalkan oleh kerajaan negeri di bawah Pakatan Harapan dalam meringankan beban kos sara hidup golongan berpendapatan rendah. – Bernama

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN